KUALA LUMPUR, Satu perhimpunan dijangka diadakan petang esok untuk menunjukkan solidariti kepada pemilik akhbar kumpulan The Edge yang digantung permit penerbitan selama tiga bulan oleh Kementerian Dalam Negeri.


Satu kumpulan Facebook yang menggelarkan diri mereka “Malaysians stand in solidarity with The Edge” (Rakyat Malaysia bersolidariti bersama The Edge) akan berkumpul di hadapan pejabat akhbar berkenaan di Mutiara Damansara pada kira-kira jam 3 petang.

Perhimpunan itu merupakan sebahagian kempen untuk menarik kembali penggantungan akhbar mingguan 
The Edge dan The Edge Financial Daily, susulan pendedahan mereka berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mari, mari, semua! Rakyat Malaysia perlu tahu mengenai #1MDB. Marilah dan gesa kebebasan maklumat dan akauntabiliti kerajaan supaya ia didengar dengan jelas.”

“Hak kita untuk mendapatkan maklumat ditekan hebat oleh perdana menteri dan pengurusannya,” kata 
kumpulan itu yang menggesa rakyat Malaysia untuk bersolidariti.

Mereka yang mahu hadir diminta mengenakan pakaian hitam atau biru.

Tidak disertakan siapa yang menganjurkan perhimpunan berkenaan tetapi bahagian ‘about’ (berkenaan) laman komuniti itu berkongsi pautan dengan propembangkang portal Aliran (http://aliran.com/)