Rabu, 1 Julai 2015

Siapa di belakang nombor plat mahal 'Patriot'?

MALAYSIAKINI




 
 
 
Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPN) mensasarkan antara RM10 juta dan RM15 juta untung daripada jualan nombor plat kenderaan yang bermula dengan perkataan "Patriot"

Bagaimanapun, skim itu menimbulkan tanda tanya selepas lelongannya dibuat oleh sebuah NGO dan bukan kerajaan.

Lagi pula, harga permulaan untuk "Patriot 1" ditetapkan pada RM1 juta – paling mahal dalam sejarah Malaysia.

Laporan media menyebut bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan kebenaran kepada YPN menjalankan bidaan. Nombor plat itu diperkenalkan bagi menyemai semangat patriotisme.

Timbalan Pengerusi YPN Datuk Nadzim Johan mengakui NGO itu turut mendapat faedah kewangan daripada skim itu, tetapi enggan menghuraikan lanjut bagaimana ia dikongsi dengan JPJ.

Beliau juga mendedahkan bahawa lima orang sedang mengintai nombor plat "Patriot 1". Ketika tulisan ini disediakan, bidaan sudah mencecah angka RM1.3 juta.

Setakat ini, bidaan nombor plat paling tinggi dibuat oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail yang membayar RM520,000 untuk mendapatkan "WWW 1" pada 2012.

Dua tahun kemudian, Sultan Ibrahim juga mendapatkan nombor “W1N” dengan bidaan bernilai RM748,000.

Untuk bidaan nombor plat bermula dengan perkataan Patriot, pembida harus membayar RM20 yuran keahlian menjadi Briged Patriot, menurut laman erb YPN.

Bidaan yang bermula 1 Jun lalu akan berakhir hari ini.

JPJ masih tidak menjelaskan kenapa urusan itu diserahkan kepada YPN.

Tanya menteri

Ketua pengarahnya Datuk Ismail Ahmad enggan mengulas perkara itu dan berkata soalan itu sepatutnya diajukan pada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketiadaan jawapan-jawapan itu mengundang kritikan sama ada amalan kronisme terlibat dalam urusan bidaan itu.

Ketika laman automotif popular Paultan.org menulis tentang skim itu, ramai pengguna Internet membangkitkan perkara sama.

“NGO atau kroni-kroni?” tulis seorang pengguna maya menggunakan nama ‘George Abdul.

Nadzim bagaimanapun menafikan perkara itu.

[Baca berita asal]


Laporan tambahan oleh Geraldine Tong.
 

Tiada ulasan: