Jumaat, 17 Julai 2015

Pengarah Komunikasi Strategik BN Yang Memalukan Najib

shahbudindotcom


Selama ini kita hanya tahu PKR saja yang ada jawatan Pengarah Strategik dan Pengarah Komunikasi. Kedua-kedua jawatan itu sebelum ini begitu popular dengan pelbagai pendedahan salah laku dalam kerajaan serta program bercorak komunikasi dengan rakyat sewaktu ia disandang oleh Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Selepas kedua-duanya naik pangkat dengan Rafizi menjadi Ahli Parlimen Pandan, Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR manakala Nik Nazmi menjadi Ketua Angkatan Muda serta Exco Kerajaan Negeri Selangor, jawatan itu kini disandang pula oleh Ahli Parlimen Bayan Baru, Lim Tze Tzin dan Fahmi Fadzil.

Tetapi kita tidak pernah tahu rupa-rupanya BN juga ada jawatan yang hampir sama yang kini dipegang oleh Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Sejak bila beliau dilantik memegang jawatan itu barangkali ramai yang tidak mengetahuinya.

Tetapi nama jawatannya tampak lebih gah dan gempak iaitu Pengarah  Komunikasi Strategik BN - gabungan dua jawatan yang pernah dipegang oleh Rafizi dan Nik Nazmi.

Namun,  pendedahan yang barangkali pertama kali dibuat oleh Abdul Rahman dalam skop tugasnya itu, bukan saja tidak menggemparkan, bahkan jelas mengecewakan. 

Hanya setelah beberapa jam beliau mengadakan sidang akhbar mendedahkan suatu laporan polis terhadap Sarawak Report kerana didakwa memalsukan dokumen berhubung 1MDB serta bersekongkol dengan parti pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri,  segala-galanya seperti serba tidak menjadi akhirnya.

Dalam pendedahannya, Abdul Rahman juga mengatakan suatu klip video pengakuan bekas editor Sarawak Report mengenai perkara tersebut turut diberikan kepada pihak polis.

Beliau pada mulanya enggan mendedahkan siapa yang membuat laporan polis itu, tetapi hanya mengatakan ia dibuat di sebuah balai polis di Petaling Jaya, Selangor.

Pada peringkat awal ternampak seolah-olah pendedahannya itu amat mengejutkan dan bakal memberi impak besar kepada isu 1MDB yang semakin menekan kedudukan Najib Razak sekarang ini.

Bukan saja Rafizi yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut menafikan dakwaan Abdul Rahman itu dan sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang, bahkan Sarawak Report juga tampil mendedahkan bahawa editor yang didakwa membuat pengakuan itu tidak pernah pun bekerja dan menulis walau sepatah perkataan dengan laman pembocor maklumat itu.

Sebaliknya, Lester Melanyi, editor yang membuat pengakuan itu dikatakan bekerja di sayap lain iaitu Radio Free Sarawak dan bekas pengarang Sarawak Tribune yang digantung penerbitannya kerana menerbitkan karikatur kontroversi berkenaan Nabi Muhammad SAW pada 2006 dan kemudiannya meletakkan jawatan.

Lebih memalukan ialah report polis itu sebenarnya dibuat oleh Ramesh Rao Krishnan Naidu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, sebuah NGO mesra BN yang memang selalu tampil sama ada membuat laporan polis, mengadakan tunjuk perasaan kecil-kecilan dan membuat kenyataan untuk mempromosi dirinya.

Nampaknya hanya bersandarkan laporan polis Ramesh Rao dan tidak mengkaji dengan mendalam identiti individu yang membuat pengakuan melalui klip video tersebut, Pengarah Komunikasi Strategik BN itu sanggup mengadakan sidang akhbar khas seolah-olah pendedahannya mampu memulihkan imej Perdana Menteri.

Setelah dinafikan oleh Rafizi dan diancam tindakan saman, Abdul Rahman kemudiannya mengatakannya beliau hanya mahukan pihak polis menjalankan siasatan terhadap laporan tersebut dan dirinya sebagai penyampai maklumat tidak harus "ditembak" terlebih dahulu.

Jadi, apa sebenarnya nilai pendedahan yang dibuat oleh Abdul Rahman itu?

Sepertimana 1MDB yang dikenali sebagai syarikat pelaburan strategik kerajaan tetapi akhirnya hanya mampu meniaga tanah pemberian kerajaan sebelum dipecah-pecahkan dan membeli IPP yang hampir tamat tempoh dengan harga mahal, Pengarah  Komunikasi  Strategik BN ini juga tidak ketahuan sejauh mana komunikasi dan mantapnya strategi melalui apa yang didedahkannya itu.

Isi pendedahan, sumber maklumat dan matlamat yang mahu dicapai langsung tidak kesampaian. Pendedahannya tidak menyentuh hati rakyat, sejuk sebelum tengahari, tiada kajian mendalam dan langsung tiada kelas.

Lebih buruk ialah bagaimana Abdul Rahman sebagai seorang Islam boleh meyakini pengakuan seorang yang pernah menghina Nabi Muhammad SAW dan menjadikannya untuk membela Najib, tentu saja menghairan dan memalukan dirinya.

Ia sama ada beliau tidak mengetahuinya atau tidak membuat "kerja rumah" berkenaan dengannya. Tetapi ia jelas menggambarkan kelemahan dalam seni komunikasi dan kerja yang tidak berstrategi.

Dengan jawatan yang begitu gah, ditambah berkedudukan sebagai menteri, setidak-tidaknya nilai pendedahan yang didedahkan itu biarlah berpadanan dan mampu memberi impak yang besar.

Bukan saja pemimpin UMNO dan kerajaan yang tidak menyambut apa yang didedahkannya, malah Najib Razak yang diharap dapat digembirakan dengan pendedahannya juga barangkali  berasa malu dengan kualiti Pengarah Komunikasi Strategik BN ini.
 
 

Tiada ulasan: