Jumaat, 17 Julai 2015

Pengakuan video tidak dapat bersih imej PM

 
Kenyataan Rahman Dahlan dikatakan hanya untuk menenangkan hati PM untuk sambut Hari Raya


zam_najib_rahman-dahlan_600



PETALING JAYA: Pendedahan Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa beliau mempunyai bukti rakaman video pengakuan yang menunjukkan niat jahat pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan tidak dapat membersihkan imej Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin, berpendapat Ahli Parlimen Kota Belud itu membuat perhitungan salah kerana menolak realiti yang berlaku di peringkat akar umbi.

Jelasnya, banyak lagi isu lain yang membelenggu kepimpinan sekarang dan bukan setakat laporan Sarawak Report mengenai skandal dana 1MDB.

“Ini adalah oleh kerana Najib tidak sekadarkan 1MDB tetapi Najib adalah bayang-bayang penghapusan ISA yang menimbulkan berbagai masalah dalam keretakan hubungan kaum sekarang dan kegagalan kawalan keatas media internet.

“Najib adalah flip flop Akta Hasutan, Najib adalah ketidak setabilan ekonomi, Najib adalah kejatuhan ringgit , Najib adalah GST, Najib adalah harga minyak,Najib adalah Lahad Datu, Najib adalah Obama,
Najib adalah Rosmah,” tulisnya di entri terbaru beliau, zamkata.blogspot.com.

Beliau berkata persepsi negatif rakyat daripada pelbagai kaum dan peringkat terhadap Perdana Menteri tidak mudah untuk ditukar.

Ia sama payahnya untuk menukarkan persepsi baik terhadap Anwar Ibrahim sebagai pemimpin besar Islam kepada pengamal seks bebas.

“Biarpun video sexnya diperlihatkan oleh TV dan media sosial disamping jam tangan Omega sebagai bukti tetapi rakyat tetap tidak mahu percaya kerana keyakinan kepadanya berakar umbi di kalangan rakyat biasa.Imej isterinya yang sederhana dan merendah diri membantu simpati kepadanya,” tulis beliau.

Menurut bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia itu, dalam kes Anwar sukar untuk meyakinkan yang buruk terhadapnya tetapi dalam Kes Najib sukar untuk meyakinkan rakyat yang baik terhadapnya kerana Najib tidak datang dari rakyat biasa.

“Betapapun Najib cuba untuk menunjukan sifat kerakyatanya tetapi imej elitis kedua suami isteri mengatasi imej semula jadi rakyat biasa yang ada pada Anwar Ibhrahim, Abdullah Badawi dan Mahathir Mohamad,” katanya.

Bagi Zainuddin, zaman kepimpinan yang bersifat kebangsawanan telah berakhir selepas Tun Hussein Onn dan apa yang dilakukan Rahman hanya dapat membantu Najib menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tenang.

Tiada ulasan: