Selasa, 7 Julai 2015

Pemerhati: Fikirlah rakyat sebelum naik kadar tol






Ismail Sualman
Penganalisis Politik, Profesor Dr Ismail Sualman



SHAH ALAM - Meskipun kadar tol dinaikkan saban tahun dan lebuh raya dilebarkan dari semasa ke semasa, namun masalah kesesakan jalan raya tetap berlaku di negara ini.

Pemerhati politik, Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata, jika penambahan lorong mampu membendung isu kesesakan, maka kenaikan kadar tol itu masih boleh dianggap wajar.

“Contohnya sehari 1 juta kereta masuk ke KL dan dari situ hasilnya akan dibina dan baiki jalan. Sekarang ini pertikaian yang timbul adalah, walaupun jalan dilebarkan beberapa kali, kesesakan tetap berlaku.

“Jadi tindakan membesarkan jalan itu bukan satu alternatif sebenarnya pun. Sebab apa yang saya lihat contohnya dari Senawang sampai ke Nilai hingga ke Kuala Lumpur, walau kita buat 10 lorong sekalipun, jalan tetap sesak teruk.

“Kadar tol tak sepatutnya dinaikkan hanya kerana syarikat itu mahu membesarkan jalan sebab kalau mereka besarkan jalan dapat menyelesaikan masalah, tak apa,” katanya.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata kerajaan dijangka membayar sebanyak RM1.08 bilion dalam bentuk pampasan kepada 23 syarikat konsesi membabitkan 30 lebuh raya seluruh negara sekiranya tiada kenaikan kadar tol.

Sehubungan itu, Prof Ismail yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, dalam tempoh yang mendesak ini yang menyebabkan kos sara hidup kian meningkat, kadar tol tidak boleh dinaikkan.

“Akhirnya beban itu perlu ditanggung pengguna. Rakyat sudah terbeban dengan pelbagai kenaikan dan tol ini sentiasa naik, tidak pernah turun pun. Kalau tol naik lagi, rakyat akan tertekan,” katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr Mohamad Fuad Othman berkata, jika kerajaan bercadang untuk bersetuju menaikkan kadar tol, kerajaan perlu menjelaskan sebab untuk berbuat demikian.

“Kereta dahulu katakanlah 100,000 sehari yang lalui lebuh raya, tapi hakikat sekarang, kereta yang menggunakan lebuh raya sudah lebih bukan 100,000 lagi. Di situ kutipan tol bertambah.
Masalahnya kita tidak diberitahu melalui perjanjian konsesi ini bagaimana jadual-jadual pembayaran dan sebagainya.

“Oleh sebab sekarang rakyat sudah dibebani dengan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan). Masalah GST ini adalah kutipan cukai pada kadar realiti maksudnya orang lihat hari-hari. Jika cukai pendapatan dan cukai-cukai lain ini mungkin hujung tahun sahaja.

“Jadi, kerajaan kalau nak perkenalkan dasar baharu atau tambah kadar sedia ada, kerajaan perlu terangkan pada rakyat kenapa perlu naikkan kadar itu? Kerana rakyat sudah terbeban sangat sekarang ini,” katanya.


Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir pula mengingatkan bahawa dalam apa juga dasar yang mahu dirancang atau dilaksanakan, kerajaan perlu mendahulukan kepentingan rakyat bukan mana-mana pihak yang berkepentingan.


Malah beliau menyifatkan alasan menteri bahawa kerajaan terpaksa membayar pampasan RM580 juta kepada syarikat konsesi ketika ini, jika kadar tol tidak dinaikkan sebagai tidak boleh diterima.


“... bukan akhirnya merugikan rakyat tapi menguntungkan syarikat-syarikat berkaitan yang kroni dan sebagainya. Kepentingan rakyat harus diutamakan lebih-lebih lagi sekarang dalam keadaan kos hidup meningkat dan harga barang semakin meningkat. Kalau tol dinaikkan lagi atas apa jua alasan, saya fikir ini memberi kesan yang semakin teruk kepada rakyat.


“Alasan itu alasan yang tidak boleh diterima. Pasti kerajaan dan konsesi-konsesi berkenaan dapat berunding untuk menilai semula kadar tol dan tempoh itu supaya ia tidak menyusahkan rakyat sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun dua ini, ketika kesan GST begitu dahsyat menimpa rakyat.

“Hampir semua harga barang daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besar barang harganya naik. Jadi, kalau naik lagi tol, kesan limpahannya melibatkan kenaikan kos pengangkutan, harga barang juga akan naik lagi. Sampai bila perkara ini akan berterusan?,” katanya.

Tiada ulasan: