Rabu, 29 Julai 2015

Pakatan baru pembangkang tidak akan kemana - Satim Diman [TONTON VIDEO]

Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Penubuhan sebuah pakatan pembangkang baru yang bakal terdiri daripada parti serpihan PAS iaitu Gerakan Harapan Baru (GHB), DAP dan PKR, tidak akan menjanjikan keuntungan kepada rakyat kerana ia dibentuk atas dasar 'balas dendam', kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Satim Diman.
 
Katanya, pakatan pembangkang baru itu tidak akan mampu menjadi sebuah pakatan yang baik pada masa akan datang kerana permuafakatan yang dibentuk itu lebih bermatlamatkan kuasa politik berbanding kepentingan rakyat.  
 
(Penubuhan) GHB ini seolah membalas dendam kepada parti sendiri (PAS), pemimpin sendiri. 
 
"Bila saling menuduh angkara satu sama lain, bermakna permuafakatan mereka bukan permuafakatan yang ikhlas, semata-mata nak dapat kuasa," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Bekas Ketua Pembangkang DUN Selangor itu menambah, beliau juga yakin gabungan baru itu tidak akan mendapat sokongan daripada rakyat negeri itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan kemelut politik berpanjangan membabitkan PAS, DAP dan PKR.
 
"Bila wujud Pakatan Baru, yang terdiri daripada GHB, PKR dan DAP... jika ambil contoh di Selangor, sekarang mereka dapat 2/3.. dengan perpecahan itu adakah mereka akan dapat 2/3 selepas ini? Mesti tak dapat.. kalau tak dapat, bermakna ia pakatan yang rapuh. Maka adakah ia satu pakatan yang baik pada masa akan datang," katanya yang juga bekas ADUN Seri Serdang.
 
Krisis politik membabitkan ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang itu semakin hangat, susulan tindakan kumpulan progresif PAS yang mengisytiharkan mahu menubuhkan parti Islam baru menggantikan PAS bagi membentuk sebuah pakatan pembangkang baharu bersama DAP dan PKR.
 
Parti Islam baru yang masih belum didaftarkan itu iaitu GHB dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, manakala anggota jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar; bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid Samad, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
 
Terdahulu, kemelut membabitkan pakatan pembangkang itu semakin memburuk apabila PAS memutuskan hubungan tahaluf siyasi bersama DAP selepas beberapa siri tindakan biadap parti demokratik itu yang kerap kali menghentam PAS dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. 
 
Perkembangan kemelut tersebut secara tidak langsung menjadikan status kerajaan negeri naungan pakatan rakyat sebelum ini khususnya Selangor, menjadi tanda tanya ekoran terputusnya hubungan dua parti dalam pakatan rakyat itu.
 
 
 

Tiada ulasan: