Khamis, 16 Julai 2015

Mungkinkah PAS hilang kuasa di Kelantan pada PRU14?

lks

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: PAS berdepan dengan kemungkinan hilang kuasa di Kelantan dalam pilihanraya umum ke-14 nanti selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta kelemahan kerajaan negeri menangani isu tempatan, terutama usaha memulihkan semula kehidupan rakyat pasca banjir besar.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, walaupun sentimen politik nasional tidak memihak kepada UMNO-Barisan Nasional berikutan cukai GST, skandal 1MDB dan ekonomi yang semakin merudum, faktor-faktor tempatan mungkin menjadi duri dalam daging untuk PAS di Kelantan.

“Ini bukan sesuatu yang baru atau mengejutkan.

“Sebagai contoh, UMNO-BN berjaya menambah 3.8% jumlah undi di Kedah dalam PRU13 untuk menguasai kembali kerajaan negeri tetapi pada masa yang sama, UMNO-BN merosot 3.7% undi di Terengganu dan hampir hilang kuasa kerajaan negeri.

“Di Kedah, UMNO-BN berjaya kerana kelemahan pentadbiran Menteri Besar PAS, Datuk Seri Azizan Razak. Di Terengganu pula, UMNO-BN hampir tewas kerana kelemahan kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah, keadaan yang sama mungkin berlaku di Kelantan kerana kelemahan pimpinan kerajaan negeri yang ada sekarang.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan pada PRU13, PAS menang 54.5% undi popular dengan menguasai 33 kerusi daripada keseluruhan 45 kerusi DUN 45 kerusi DUN.

Bagi kerusi Parlimen di Kelantan, PAS menang 53% dengan menguasai 9 daripada kesemua 14 kerusi Parlimen.

Kit Siang mengemukakan tiga kemungkinan keputusan PRU14 untuk Kelantan jika PAS merosot undi sebanyak 3% atau 4% atau 5%:


Senario 1 Senario 2 Senario 3
Perubahan sokongan undi PAS -3% -4% -5%
Kerusi DUN 24 (-9) 20 (-13) 20 (-13)
Kerusi Parlimen 6 (-3) 6 (-3) 6 (-3)

“Senario 1 menunjukkan jika PAS hilang 3% undi, ia akan menang 24 kerusi DUN dan mengekalkan kerajaan negeri.

“Senario 2 menunjukkan jika PAS hilang 4% undi, ia akan hanya menang 20 kerusi DUN dan akan hilang kuasa sebagai kerajaan negeri.

“Bagi kesemua Senario 1, 2 dan 3, PAS akan tetap kehilangan 3 kerusi Parlimen,” katanya.

Menurut Kit Siang, DAP bimbang dengan keadaan di Kelantan khususnya masalah banjir pada Disember lalu dan proses pemulihan semula, kerana ia berkait dengan kemampuan PAS untuk mengekalkan kuasa dalam PRU akan datang.

Beliau menjelaskan bahawa sebelum PRU13 pada Mei 2013, DAP telah pun memberitahu pucuk pimpinan PAS bahawa ia akan kehilangan Kedah jika tidak melakukan perubahan segera dalam pentadbiran negeri Kedah.

“Namun, kebimbangan dan keprihatinan DAP hanya seperti mencurah air ke daun keladi,” tambah beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: