Jumaat, 31 Julai 2015

Melihat Kabinet baharu Najib secara rasional

Oleh Zainuddin Maidin



Tokoh-tokoh berkaliber dari Sabah


Perimbangan dan kualiti dalam pelantikan Kabinet baharu menampakkan pertimbangan dan pemilihan yang rapi lama dibuat tetapi pengumumannya dengan tergesa-gesa sehingga menafikan keperluan menyiapkan segera laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menampakkan kepada rakyat survival Datuk Seri Najib Razak lebih diutamakan.

Orang ramai nampak keperluan Najib menyegerakan rombakan itu kerana beliau nampak bahaya yang datang daripada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengancam mengenai 1MDB di Umno Bahagian Cheras.


Jika Najib mengambil berat terhadap  kepenatan penantian rakyat terhadap laporan 1MDB  maka tentulah beliau menangguhkan dahulu pengumuman Kabinet baharunya yang memerlukannya mengambil 3 orang yang sedang menjalankan tugas menyiapkan laporan hasil siasatan itu. Demikianlah juga penyingkiran Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang terlibat dalam tugas yang sama.

Walaupun saya sedang berkabung ekoran pengumuman Kabinet baharu itu tetapi saya cuba melihatnya secara rasional dari sudut-sudut positif  untuk mengeluarkan diri saya daripada kesedihan.

1. Kabinet baharu ini akan memberikan semangat dan kekuatan baharu kepada Najib untuk memanjang hayatnya sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.

2. Pelantikan Datuk Ser Dr Ahmad Zahid Hamidi  ini akan membantu memastikan laluan mudah bagi  sepupunya Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mengambil tempat sebagai perdana menteri atau timbalan perdana menteri pada masa yang sesuai.

3. Dengan popularitinya yang tertinggi dalam parti dan latar belakang pelajaran agamanya serta kelebihan sebagai seorang orator  yang baik maka pemilihan Zahid sebagai timbalan perdana menteri dengan dikekalkan sebagai menteri dalam negeri menambahkan aura kekuatannya untuk memulihkan imej nasionalisme Umno dan keyakinan di kalangan orang Melayu dan Islam dengan langkah-langkah keselamatan yang seimbang.

Pegangan kepada kedua jawatan ini pernah disandang oleh Allahyarham Tun Dr Ismail selepas pemerintahan Majlis Gerakan Negara. Timbalan perdana tanpa jawatan yang lain tidak menampakkan kekuatan dan penguasaan.

Walaupun hubungan lalu antara Zahid dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sering diperkatakan tetapi keyakinan Najib kepada Zahid menunjukkan beliau tetap setia kepada Najib walaupun berada di bawah Anwar (dalam pada itu harus diingatkan pada masa itu untuk survival, semua orang mempunyai hubungan baik dengan Anwar termasuk Muhyiddin dan Najib sendiri tetapi oleh kerana melihat potensi Zahid maka beliau dilimpahkan beberapa kelebihan).

4. Pelantikan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan imejnya sebagai aktivis moderate Islam, seorang modenis Islam dan intelektual Islam yang dihormati fikiran dan kebolehannya akan dapat membantu penerapan nilai-nilai keterbukaan dan progresif Islam dalam menghadapi cabaran yang semakin agresif dalam politik liberalismedan globalisasi masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Dalam hal ini, Asyraf dan Zahid boleh saling membantu dalam menghadapi dan mematahkan provokasi terhadapi nilai-nilai agama dari segi keselamatan dengan secara logik, rasional dan terpelajar.

Mungkin mereka  juga akan dapat membantu dalam pendekatan ke arah yang lebih meyakinkan rakyat berbilang kaum jika diperlukan kerjasama antara PAS dan Umno untuk kestabilan dan ketenteraman negara. Orang agama lebih mudah bercakap dan memahami bahasa agama antara mereka.

5. Pengekalan dan pelantikan  tokoh-tokoh  politik berkaliber besar dari Sabah yang terbukti dalam keupayaan mereka mempertahankan Najib dengan fakta dan rasional akan memperkuatkan lagi sokongan rakyat Sabah kepada Barisan Nasional (BN).

Walaupun Datuk Seri Shafie Apdal tersingkir tetapi  penggantiannya dengan Datuk Seri Salleh Said Keruak sebagai menteri komunikasi dan multimedia akan memperlihatkan peningkatan sumbangan Sabah dalam politik negara. Saya mempunyai keyakinan Salleh berupaya menjalankan tugasnya dengan berkesan.
Walaupun saya tidak bersetuju dengannya tetapi saya mengakui kemampuannya menangkis serangan dengan pantas berasaskan fakta-fakta sejarah yang kuat dan benar dalam mempertahankan Najib dan tidak seperti kebanyakan “ulaq ayaq” yang digunakan oleh TV3.

Dua lagi Menteri dari Sabah; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahalan dan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Anifah Aman terbukti tidak mengecewakan. Rahman dan Salleh tidak sahaja berkeupayaan dalam pendekatan  politik tetapi juga dalam penulisan.

Yang menjadi tanda tanya sekarang ialah adakah pelantikan Zahid sebagai timbalan perdana menteri hanya bersifat sementara bagi memberikan laluan ke puncak kepada Hishammuddin yang juga pernah menjadi menteri dalam negeri dan banyak menyimpan rahsia-rahsia penting kementerian itu.

Apapun  dalam politik tidak ada perancangan dan  janji yang kekal. Nasib Zahid dan Hsihammuddin dalam kedudukan sebagai perdana menteri akan ditentukan  oleh pemilihan MKT Umno  selepas pilihan raya umum  akan datang sekiranya BN atau Umno masih berkuasa dan sekiranya Najib merasa perlu untuk berundur.

Bagaimanapun yang jelas sekiranya Khairy Jamaluddin terus bermain politik untuk survival dan tidak mempunyai keberanian mengambil risiko dalam keadaan-keadaan yang diperlukan oleh rakyat maka harapannya untuk menjadi perdana menteri dalam usia muda semakin jauh terutama dengan cabaran yang semakin terserlah daripada bakat-bakat besar politik dari Sabah. – zamkata.blogspot.com,

* Penulis merupakan bekas Menteri Penerangan.


Tiada ulasan: