SHAH ALAM - Dalam keadaan ekonomi yang terus menjerut rakyat, harga minyak negara sekurang-kurangnya perlu kekal atau dikurangkan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ini kerana berdasarkan graf harga minyak dunia, ia sebenarnya agak mendatar kepada trend menurun pada bulan Mei ke Jun 2015.

"Ini menimbulkan persoalan apakah peningkatan harga minyak kali ini adalah berkait dengan kejatuhan nilai Ringgit," dakwanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya di samping itu,  kenaikan kali ini menonjolkan lagi sikap hipokrit kerajaan dalam menentukan harga minyak bulanan.
"Ketika harga minyak meningkat di bulan April, kerajaan memilih untuk tidak menaikkan harga minyak di bulan Mei kerana bertembung dengan dua pilihan raya kecil iaitu Rompin dan Permatang Pauh ketika itu.

"Cubalah kerajaan melihat sendiri di cermin, jika kerajaan boleh menahan kenaikan harga minyak semata-mata demi pilihan raya kecil, mengapa kerajaan sanggup menaikkan harga minyak ketika harga minyak sedunia turun dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang? Apakah nasib Umno di pilihan raya kecil jauh lebih penting daripada nasib seluruh rakyat Malaysia?," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, untuk menghentikan spekulasi dan demi keadilan, Pas menuntut kerajaan mengeluarkan cara perkiraan harga minyak pada akhir setiap bulan sebelum mengisytiharkan harga minyak yang baru pada 1hb bulan berikutnya.

Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97  naik sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015  , namun harga diesel kekal pada RM2.05 seliter menurut Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Zulkifli Mokti.

Katanya, harga baharu RON95 ialah RM2.15 seliter manakala RON97 sebanyak RM2.55 seliter selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dalam perkembangan lain Pas menyarankan agar  Plus dan lebuhraya lain turut sama cuti bersama rakyat Malaysia sempena musim perayaan besar selama seminggu bagi membantu meringkan beban rakyat.

"Sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan beban rakyat yang terpaksa menghabiskan minyak kereta yang bertambah mahal di dalam kesesakan.

"Pas yakin kehilangan pendapatan seperti ini tidak akan menjejaskan operasi mana-mana konsesi lebuhraya di negara ini. Anggaplah ini sebagai rebat kepada pelanggan tetap rakyat Malaysia yang tetap setia menggunakan lebuhraya selama ini," katanya.