Jumaat, 31 Julai 2015

KPDNKK nafi keluar kenyataan harga minyak

Minyak


SHAH ALAM -  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini menafikan ada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perubahan harga baharu petrol dan diesel bagi Ogos seperti yang tersebar dalam aplikasi WhatsApp.

Menurut KPDNKK dalam satu kenyataan hari ini, sebarang perubahan harga hanya akan diketahui pengguna pada jam 12.01 pagi nanti.

“Untuk makluman, pihak KPDNKK tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan perubahan harga baru petrol dan diesel setiap bulan. Kenyataan harga minyak petrol dan diesel bagi bulan Ogos yang kononnya dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha KPDNKK seperti yang tersebar di laman sosial serta aplikasi WhatsApp adalah tidak benar.

“Perubahan harga petrol dan diesel pada setiap bulan hanya akan diketahui pengguna pada jam 12.01 pagi di semua stesen minyak di seluruh negara. Harap maklum,” kata kenyataan itu.

Mesej yang tersebar itu mendakwa RON95 mengalami kenaikan sebanyak 25 sen manakala RON97 mengalami kenaikan 35 sen dan diesel pula mengalami kenaikan 30 sen.

“Berikutan keperluan untuk menampung keperluan subsidi negara, harga runcit bahan api fosil akan dinaikkan kepada harga berikut, RON97+35 sen seliter = RM 2.90, RON95 +25 sen seliter = RM 2.40 dan diesel +30 sen seliter = RM 2.35.

“Harga baru ini akan berkuatkuasa mulai 12.00 tengah malam 1 Ogos 2015. Sekian, makluman,” bunyi kenyataan yang menggunakan nama Ketua Setiausaha KPDNKK itu.

1 Disember lalu, kerajaan memutuskan menghapuskan subsidi dan penetapan harga runcit bagi RON95 dan diesel adalah bergantung pada harga minyak mentah dunia.

Harga minyak berubah setiap awal bulan mengikut kaedah pengapungan terkawal.


Tiada ulasan: