Ahad, 19 Julai 2015

Kenyataan Rahman Dahlan memalukan diri sendiri-Shahbudin

 
Pengarah Komunikasi Strategik BN dikatakan tidak membuat ‘kerja rumah’ sebelum membuat kenyataan


rahman

 
PETALING JAYA: Pendedahan Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul
Rahman Dahlan mengenai suatu klip video pengakuan bekas editor Sarawak Report mengenai pemalsuan dokumen berhubung 1MDB yang bersekongkol dengan parti pembangkang untuk menjatuhkan Perdana Menteri, mengecewakan.

Teka teki mengenai laporan dan individu yang dikaitkan terbongkar meskipun dalam sidang akhbar di pejabatnya, beliau memaklumkan akan berbuat demikian sekiranya mendapat jaminan polis.

Pada peringkat awal nampak seolah-olah pendedahannya itu amat mengejutkan dan bakal memberi impak besar kepada isu 1MDB yang semakin menekan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak .

Bagaimanapun, kenyataan Sarawak Report selepas itu mendedahkan kelemahan Dahlan apabila ia menafikan editor yang kononnya dirahsiakan identiti itu pernah bekerja dengan portal berkenaan.

“Lester Melanyi, editor yang membuat pengakuan itu dikatakan bekerja di sayap lain iaitu Radio Free Sarawak dan bekas pengarang Sarawak Tribune yang digantung penerbitannya kerana menerbitkan karikatur kontroversi berkenaan Nabi Muhammad SAW pada 2006 dan kemudiannya meletakkan jawatan.

“Lebih memalukan ialah report polis itu sebenarnya dibuat oleh Ramesh Rao Krishnan Naidu, Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, sebuah NGO mesra BN yang memang selalu tampil sama ada membuat laporan polis, mengadakan tunjuk perasaan kecil-kecilan dan membuat kenyataan untuk mempromosi dirinya,” tulis Shahbudin Husin di blognya, shahbudindotcom.blogspot.com

Dalam entrinya, bekas Naib Ketua Pemuda Wangsa Maju itu mengkritik kenyataan yang dibuat oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang disifatkan tidak melakukan ‘kerja rumah’ sebelum membuat kenyataan.

Dalam tulisannya, dia mempersoalkan nilai pendedahan yang dibuat oleh Rahman Dahlan kerana isi pendedahan yang tidak mendalam, sumber maklumat dan matlamat yang mahu dicapai langsung yang dikatakan tidak kesampaian.

Faktor itu menyebabkan ia gagal menyentuh hati rakyat dan disifatkannya tidak mempunyai kelas.

“Bukan saja pemimpin UMNO dan kerajaan yang tidak menyambut apa yang didedahkannya, malah Najib Razak yang diharap dapat digembirakan dengan pendedahannya juga barangkali berasa malu dengan kualiti Pengarah Komunikasi Strategik BN ini, “ tulisnya.

Tiada ulasan: