Rabu, 29 Julai 2015

Jika YB larikan kerusi, bermaruahkah Anwar, LKS?



Oleh Subky Latif

JIKA Islam tidak dapat laksanakan peraturannya tidak dapat berbuat apa-apa kepada umatnya yang murtad, maka tidak banyak yang PAS dapat buat jika wakil rakyat meninggalkan parti dan membawa lari kerusinya bersama.
    
Ia hanya boleh berkata kepada yang melompat itu, lompat setinggi mana yang lalu. Tetapi tinggalkan kerusi. Tiada apa yang suami dapat buat terhadap isteri yang ada buah hati lain melainkan menerima hakikat bercerai.

Jika kita seperti setengah negara Arab, isteri seperti itu ditembaknya saja. Kita tidak boleh buat begitu.
   
Kita boleh berfikir, wakil rakyat parti isteri tidak boleh lompat parti, jika politik wakil rakyatnya sudah tidak dapat terima partinya, jika dia bermaruah, jangan larikan kerusi sekali!
   
Jika lari dengan kerusi sekali, tidak usah loyar buruklah dengan menjustifikasi begitu dan begini bagi menghalalkan cara.
   
Jika dikatakan dia tidak perlu meletak jawatan, maka tentangan mereka dulu atas sikap tiga Adun Pakatan Rakyat Perak – dua dari PKR dan satu DAP – mengisytihar diri sebagai Adun Bebas hingga mati tidak bererti lagi.
   
Semuanya dari PAS, DAP dan PKR kutuk perbuatan tiga Adun itu hingga menyebabkan kerajaan Pakatan di Perak terkubur.
   
Seronokkah pimpinan PAS yang melompat itu melihat ada orang-orang yang membantah natijah lompat tiga Adun itu mengadakan tunjuk perasaan terhadap Raja dan gara-garanya ada yang terpenjara?
   
Paling kecewa atas kejadian itu ialah Menteri Besar Nizar Jamaluddin yang dilucutkannya kerana kejadian yang tidak bermoral itu. Tidak pernah berlaku dalam sejarah moden, Adun Pakatan bersidang di bawah pokok.
    
Jika wakil rakyat tidak merasa salah melarikan kerusi itu, maka mereka seolah-olah meredhai tindakan terkutuk Adun tiga serangkai Pakatan Perak itu dulu. Bukankah kejadian tidak bermaruah mereka dulu bukan sekadar menyayat hati sekalian ahli dan TG Haji Hadi Awang, bahkan ia lebih menyayat hari DS Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dan pengikut parti masing-masing.
   
Adun PAS tidak menjadi angkara masa itu. Yang menjadi angkara ialah Adun orang lain.
   
Kita telah menyaksikan hati orang PAS itu telah dikecewakan, maka apakah orang tidak terkesan lagi jika orang dari darah dagingnya sendiri lari dengan membawa  kerusi sekali.
   
Kiranya hingga akhir kerusi atas nama PAS itu tidak dipulangkan, tidak menyebabkan PAS merana seperti orang ditinggalkan kekasih.
   
Tetapi tindakan mereka itu tentu boleh menyusahkan Anwar Ibrahim yang sedang disusahkan oleh politik rakus Umno/BN sekarang. Anwar sudahpun bercakap tentang harapan barunya membuat Pakatan lain dengan keanggotaan PAS digantikan dengan orang PAS yang meninggalkan PAS.
   
Dan Kit Sing tiada pilihan melainkan menerima pemberontak PAS itu tetapi tentulah mereka tidak dilihat bermaruah jika menerima wakil rakyat yang melarikan kerusi bersekongkol dengan pakatan barunya.
   
Mereka sudah kutuk Adun mereka yang khianat dulu, maka mungkinkah bersetuju pula menerima wakil rakyat yang kira-kira perbuatan itu sama dengan Adun mereka dulu. Dulu kita kata Najib tidak bermaruah kerana menerima sokongan Adun luar tidak bermaruah. Jika Anwar dan Kit Siang pula pejam mata saja terhadap Wakil Rakyat yang melarikan kerusi itu, apa hendak dikatakan kalau Najib kata, kamupun serupa aku juga?
   
Apapun Anwar bebas menerima ganti PAS dalam harapan politik barunya, tetapi dia boleh dilihat bermaruah menasihatkan wakil rakyat yang melarikan kerusi iu pulangkan kerusi itu kerana Anwar  sudah kutuk Adunnya yang membuat tahi dulu.


1 ulasan:

awekaste berkata...

Hai Pak Subky apa hang ingat kerusi pas menang terutama di pantai barat itu solid atas undi dari ahli pas.

Rakyat yg tak berparti yg majoritinya sokong pakatan rakyat lah yg memenangkan calon2 pas tersebut.