Rabu, 1 Julai 2015

Ia bukan pemilihan MIC, kata Subra

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Dr S Subramaniam menyifatkan pemilihan yang dipanggil oleh Datuk Seri G Palanivel sebagai "bukan pemilihan MIC".

Dr Subramaniam, yang mengaku beliau adalah pemangku Presiden MIC, berkata: "Itu adalah pemilihan sebuah organisasi bukan kerajaan. Terdapat hanya satu siri pemilihan MIC."

Beliau menasihatkan pengerusi cawangan dan anggota-anggota parti supaya mengemukakan kertas pencalonan mereka pada 10, 11 dan 12 Julai ini.

"Jika tidak, 3,400 cawangan mungkin tidak berfungsi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 di ibu pejabat MIC di ibunegara semalam.

Dr Subramaniam berkata cawangan-cawangan yang berdaftar sethingga 2012 dan telah membayar yuran ahli sehingga 2015 dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pemilihan.

Beliau berkata pengerusi cawangan akan dimaklumkan mengenai pemilihan menjelang akhir minggu ini dan pemilihan cawangan akan berlangsung dari 20 hingga 26 Julai.

"Saya yakin 90 peratus daripada pengerusi cawangan akan mengemukakan kertas pencalonan," kata beliau.

Kelmarin Palanivel yang menegaskan beliau masih presiden parti itu, menetapkan September ini bagi pemilihan presiden dan 24 hingga 26 Julai bagi pemilihan peringkat cawangan. - Bernama


 

Tiada ulasan: