Khamis, 30 Julai 2015

Harga minimum rokok naik, larangan bertambah

MALAYSIAKINI


 


Harga minimum rokok dinaikkan daripada RM7 kepada RM9 sekotak bermula Sabtu ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini.

Beliau berkata perkara itu diputuskan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau di Putrajaya hari ini.

"Harga minimum ini akan dinaikkan kepada RM10 mulai 1 Ogos 2016," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di kementeriannya.

Beliau turut mengumumkan dua peraturan baru melibatkan kawasan zon larangan merokok, melibatkan tempat awam dan tempat makan berhawa dingin.

Dr Subramaniam berkata bermula 1 Januari tahun hadapan, taman awam kecuali tempat letak kereta terbuka akan diwartakan sebagai tempat dilarang merokok.

"Malah, beberapa kawasan tumpuan awam seperti tapak perkhemahan, menara tinjau dan laluan kanopi (jambatan gantung) di 35 Taman Negara juga akan diwartakan sebagai tempat dilarang merokok," katanya.

Selain itu, Dr Subramaniam berkata keseluruhan tempat makan berhawa dingin juga telah diisytiharkan sebagai tempat dilarang merokok.

"Kalau dahulu, kita membenarkan satu pertiga daripada tempat makan berhawa dingin di bawah Peraturan 21 sebagai tempat merokok. Sekarang ia dimansuhkan," katanya.

"Penguatkuasaan larangan merokok di taman awam dan Taman Negara akan dijalankan oleh renjer hutan dan pihak berkuasa terlibat dan mereka akan diberikan kuasa untuk menguatkuasakan warta ini," katanya lagi. - Bernama


 

Tiada ulasan: