Ahad, 26 Julai 2015

GHB dijangka 'tunduk' pada DAP - Nakhaie Ahmad

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad tidak menolak kemungkinan Gerakan Harapan Baru (GHB) akan mengikut telunjuk DAP, sekiranya bergabung dalam pakatan pembangkang kelak.
 
Nakhaie berkata, GHB tidak akan tampil lebih islamik daripada PAS meskipun ia diterajui beberapa bekas pemimpin parti itu.
 
Justeru, Nakhaie menjangkakan GHB akan berdepan dengan cabaran setiap kali mahu bertegas bersabit sesuatu isu, membabitkan DAP.
 
"Dipengaruhi DAP) Kemungkinan itu ada sebab semuanya akan menjadi liberal. Saya ingat, GHB, DAP akan bersatu dengan pendekatan yang lebih liberal, Islam yang agak liberal. PKR juga liberal.
 
"Sebab mereka terdiri daripada kalangan profesional menengah yang mana mesej mereka tidak sampai ke bawah," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
GHB kini memerlukan sokongan DAP agar parti politik yang bakal mereka asaskan sedikit waktu nanti dapat diterima rakyat.
 
Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga sebelum ini mengakui perbincangan diadakan bersama GHB dan PKR bagi membentuk gabungan pembangkang yang baru menerusi Pakatan Rakyat 2.0.
 
Bukan itu sahaja, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberi bayangan bahawa partinya akan menjalinkan kerjasama dengan GHB dengan menggunakan hujah mahu membentuk permuafakatan politik yang lebih kukuh.
 
Pimpinan PAS pula tidak henti-henti menempelak tindakan kumpulan progresif PAS yang membentuk pertubuhan ini yang dianggap sebagai serangan kepada parti itu dan pemimpinnya selepas kalah dalam pemilihan baru-baru ini.
 
Nakhaie, bagaimanapun percaya GHB tidak akan berjaya mempengaruhi ahli-ahli PAS secara keseluruhannya untuk 'beralih arah'.
 
"Mungkin GHB akan menarik lebih orang muda. Namun untuk mempengaruhi ahli-ahli PAS secara keseluruhannya adalah sukar," ujarnya.
 
GHB yang ditunjangi G-18 bakal mendaftar sebagai sebuah parti politik pada pertengahan September depan.
 
G18 adalah kumpulan yang bekas pemimpin PAS yang kecundang pada pemilihan parti 4 Jun lalu.
 
GHB dipengerusikan bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, manakala ahli jawatankuasa interimnya terdiri daripada bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar, bekas Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, serta bekas pemimpin kanan parti seperti Khalid, Dr Mohd Hatta Ramli dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. 


Tiada ulasan: