KOTA BHARU- Setiap kali penghujung Ramadan, suasana di perkarangan Padang Merdeka dan Masjid Muhammadi (Masjid Negeri) pastinya menjadi tumpuan ramai golongan fakir miskin bagi mendapatkan sumbangan zakat daripada orang ramai.

Namun, di tengah kesibukan orang ramai kembali ke rumah masing-masing selepas menunaikan solat sunat Tarawih, tumpuan pastinya tertumpu kepada seorang dermawan Cina yang sejak sembilan tahun lalu menyerahkan ‘sedekahnya’ kepada golongan fakir miskin.

Insan terbabit, Datuk Seri Sunny Ung atau lebih mesra dengan panggilan Datuk Sunny menjelaskan sumbangannya kepada golongan terbabit tidak mempunyai sebarang motif, malah cuma berharap golongan berada yang lain turut sama berbuat demikian.
SUNNY UNG 4
Sunny bertanya khabar kepada fakir miskin berdekatan Masjid Muhammadi Kota Bharu sebelum memberikan sedekah. – Foto TRP/Adnan Mohamad
Katanya, walaupun kesemua penerima sumbangannya itu beragama Islam itu bukan persoalannya kerana apa yang penting mereka yang susah perlu dibantu.

“Saya tahu kebanyakan yang berada di kawasan ini adalah majoritinya rakyat negara jiran, Thailand yang datang semata-mata bagi mendapatkan sumbangan zakat.
SUNNY UNG M 1
Sunny sedih melihat keadaan satu keluarga miskin yang sanggup datang dari Selatan
Thailand bagi menerima sedekah dan zakat dari rakyat Malaysia di Kota Bharu, di sini. – 
Foto TRP/Adnan Mohamad
“Namun begitu, bagi saya mereka ini perlu juga dibantu kerana ternyata mereka golongan susah dan ini terbukti mereka sanggup datang dari jauh kerana tahu keprihatinan penduduk di sini,” katanya yang tidak percaya mereka ini dibawa masuk ke sini oleh sindiket tertentu.

Sunny berkata walaupun berlainan agama dan bangsa tetapi rasa simpatinya kepada golongan fakir miskin ini mengatasi segalanya dan sanggup membuang apa-apa sentimen agar semua orang dapat merasai sedikit pemberian.
SUNNY UNG
Sunny Ung (baju hijau) cuba memakaikan baju Melayu kepada salah seorang anak angkatnya 
di Pasaraya Mydin Kota Bharu hari ini. – Foto TRP/Adnan Mohamad
Pada 11 Julai lalu, Datuk Seri Sunny Ung sekali lagi mencuri tumpuan ramai apabila mengikis perbezaan kaum dan agama dengan membawa seramai 150 anak angkatnya untuk membeli belah persiapan raya di Pasaraya Mydin, di sini.

Lengkap berpakaian baju Melayu, Sunny dilihat muncul seawal jam 8 pagi bagi menunggu kumpulan anak angkatnya sambil ditemani dua anak lelakinya, Adrian, 22, dan Andrie, 24.

Meskipun dikategorikan sebagai ahli perniagaan yang berjaya, Sunny memberitahu dia sesekali tidak akan membiarkan golongan miskin atau anak yatim hidup dalam kesusahan apatah lagi menjelang sambutan hari raya tidak lama lagi.
SUNNY UNG 1
Datuk Seri Sunny Ung (baju hijau) cuba memakaikan baju Melayu kepada salah seorang anak 
angkatnya di Pasaraya Mydin Kota Bharu hari ini. – Foto TRP/Adnan Mohamad
Dalam pada itu, Sunny juga mungkin satu-satunya individu di negara ini yang ikhlas membantu sebuah pusat tahfiz al-Quran tanpa sebarang syarat.

Yang lebih menariknya, usahawan berjiwa emas ini juga antara pihak yang pertama sekali tampil menghulurkan bantuan apabila pusat tahfiz al-Quran PEKAYATIM, di sini, dilanda banjir tahun lalu.

Difahamkan, selain membantu di segi keperluan asas seperti barangan dapur kepada lebih 20 pelajar tahfiz terbabit, Sunny juga turut mendermakan pelbagai buku rujukan dan kitab agama kepada pusat tahfiz itu.

Paling menyentuh rasa, usahawan terbabit juga turut menyumbangkan kitab al-Quran kepada pusat tahfiz itu yang sebelum ini banyak rosak dimusnahkan bah besar Disember tahun lalu.