JOHOR BAHRU- “Sakit sendi, kepala dan demam malam selama seminggu, bukan perkara main-main.


“Mulanya saya ingat demam biasa, ambil Panadol (paracetamol) tapi hilang sekejap saja,” kata Khairul Izwan Onn ketika berkongsi pengalaman mengalami demam denggi.

Mekanik berusia 24 tahun itu berkata, apabila mengalami demam dan sakit sendi, beliau ke klinik swasta tetapi hanya diberi ubat tahan sakit.

Namun, keadaannya tidak bertambah baik, malah semakin teruk.

Khairul Izwan memberitahu The Rakyat Post, dia langsung tidak terfikir terkena demam denggi kerana di waktu pagi, dia merasa sihat, hanya apabila tengah hari barulah dia berasa demam panas dan mengalami sakit sendi serta kehausan.

Katanya, setiap waktu petang, dia akan tidur di tempat kerja selepas mengambil ubat.

“Majikan saya suruh saya pergi buat pemeriksaan kesihatan kerana apabila tiba waktu petang dan malam, badan akan rasa seram sejuk sampai tak tertahan,” kata Khairul Izwan dan menambah, selepas seminggu, abangnya membawa dia pulang ke kampung di Taman Soga, Batu Pahat.

Abangnya kemudian membawanya ke satu lagi klinik swasta di Batu Pahat di mana doktor mengesyaki beliau mengalami demam denggi.

Doktor itu kemudian segera merujuknya ke hospital berdekatan untuk pemeriksaan darah dan Khairul Izwan disahkan mengalami demam denggi dan jumlah platelet darahnya kurang.

“Saya dimasukkan ke dalam wad selama beberapa hari di bawah pemerhatian doktor dan diberi rawatan, doktor kemudian menasihatkan saya supaya minum banyak air dan berehat.

“Menurut doktor, saya bernasib baik sebab saya bertambah baik walaupun telah mengalami demam panas, tetapi untuk betul-betul sembuh saya perlu berehat selama seminggu,” kata Khairul Izwan.

Khairul Izwan beliau mengambil masa yang lama untuk sihat sepenuhnya dan hilang berat badan sebanyak lima kilogram disebabkan tiada selera makan.
Khairul Izwan, seorang mekanik di Tampoi, Johor Bahru, baru pulih daripada demam denggi hilang lima kilogram berat badan kerana tiada selera makan. - Foto TRP/Ben Tan
Khairul Izwan, seorang mekanik di Tampoi, Johor Bahru, baru pulih daripada demam denggi 
hilang lima kilogram berat badan kerana tiada selera makan. – Foto TRP/Ben Tan
“Nasib baik saya dah pulih. Sempat juga dapat beraya tahun,” katanya secara berjenaka ketika ditemui di tempat kerjanya di Tampoi.

Bagaimanapun, , Khairul Izwan berharap dapat menaikkan berat badannya kerana dia terlalu kurus.
Kematian disebabkan demam denggi di negara ini meningkat, tahun ini.

Minggu ini sahaja, kematian disebabkan demam denggi meningkat kepada 173 kes, sekali ganda dari 87 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu, menurut Pusat Kesediaan Krisis Dan Tindak Balas Nasional (CPRC), Kementerian Kesihatan.

Dari Januari hingga 11 Julai tahun ini, Kementerian Kesihatan merekodkan sejumlah 62,648 kes denggi berbanding 46,681 kes, tahun lalu.

Tiga hari lalu, Johor mencatatkan 14 kes kematian berkaitan denggi sejak awal tahun ini.

Khairul Izwan, yang kini lebih tahu mengenai denggi dan tahap-tahapnya berkata, apa yang dilalui itu mengajarnya mengenai demam denggi dan bahayanya.

“Kalau diberi pilihan, saya tidak mahu melalui kesakitan demam denggi lagi. Tak ramai yang tahu demam denggi amat menyakitkan,” katanya.

Khairul Izwan menasihati mereka yang mengalami demam panas berlarutan selama beberapa hari supaya segera mendapatkan rawatan di klinik berdekatan dan membuat pemeriksaan darah.

“Pada mulanya, simptom demam ini tidaklah terlalu serius, tetapi jangan tunggu sampai terlambat,” katanya dan menambah langkah berjaga-jaga penting kerana kes demam denggi semakin meningkat