KUALA LUMPUR - DAP tidak menolak bahawa akan berlakunya satu demonstrasi jalanan yang akan diadakan secara besar-besaran bagi meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan penjelasan mengenai tuduhan Wall Street Journal.

Ahli Parlimen DAP-Seremban, Anthony Loke berkata cadangan yang diutarakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak mustahil menjadi kenyataan sekiranya Najib terus berdolak-dalih.

Menurutnya, suara yang mahukan demonstrasi diadakan semakin kuat pada setiap hari dan Perdana Menteri harus memberi jawapan segera.

“Sekiranya Perdana Menteri tidak meletak jawatan atau setidak-tidaknya bercuti bagi membolehkan siasatan diadakan.

“Kalau beliau terus berdolak-dalih, saya tidak menolak kemungkinan bahawa satu gerakan demonstrasi besar-besaran akan diadakan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan di Parlimen di sini hari ini.

Terdahulu, aktivis sosial menggesa supaya rakyat berhimpun dan mengepung kawasan Parlimen kerana ia dilihat sudah tidak lagi bebas.

“Semua dah letih, rakyat dah tahu. Namun persoalannya adalah apakah tindakan wajib kita ambil. Pada saya, tidak ada lain kita susun gelombang rakyat, kepung Parlimen.

“Saya yakin tidak akan ada tindakan undang-undang yang akan diambil dan jalan raya adalah pilihan kita sebelum ke Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” ujarnya.

Tambah Anthony Loke lagi, gerakan itu nanti akan melibatkan semua pihak termasuk parti politik, gerakan mahasiswa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jelasnya, kerjasama antara pihak-pihak tersebut dilihat akan mewujudkan sebuah gerakan rakyat secara keseluruhan.

“Kalau tidak ada penafian dan penyiasatan yang jujur maka tidak mustahil gerakan rakyat akan menjadi kenyataan,” tegasnya.