Ahad, 26 Julai 2015

Calon ganti Khairul Anwar sudah dikenal pasti

Hahasrin Hashim
Hahasrin
 
 
JOHOR BAHRU - Beberapa calon berpotensi sudah dikenalpasti untuk dipilih mengisi kekosongan jawatan Naib Ketua Pemuda Umno Johor.
 
Ketua Pemuda Umno Johor, Hahasrin Hashim berkata, calon berkenaan akan mengisi kekosongan jawatan itu yang dilepaskan Datuk Khairul Anwar Rahmat baru-baru ini.
 
Menurutnya, sebelum ini sudah ada perbincangan mengenai perkara itu antara Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
 
"Dalam pertemuan itu, saya ada mengemukakan beberapa nama dan saya percaya Khairy juga akan berbincang mengenainya bersama beliau (Mohamed Khaled) sebelum membuat keputusan seterusnya," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Pulai 2015 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini, semalam.
 
Hadir sama, Exco Pemuda Umno,  Sheikh Ahmad Nafiq Al-Firdaous.
 
Hahasrin berkata, beliau menjangkakan Khairy akan mengumumkan perkara itu dalam tempoh terdekat ini.
 
Sebelum ini, Khairul Anwar yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang serta Ketua Sekretariat Perundangan Umno melepaskan jawatan berkenaan selepas berbincang secara mendalam bersama ahli keluarga dan mendapat restu ibu.
 
Beliau selaku Pengerusi Khairul Group merangkap Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), melepaskan jawatan dalam Umno bagi meneruskan kerja kemasyarakatan di dalam dan luar negara.
 
Keputusan itu juga bagi memberi ruang untuk memperluaskan operasi korporat firma ke Asia Barat dan Eropah, terutama bagi memuktamadkan beberapa rundingan dalam bidang hartanah, perundangan dan mediasi antarabangsa yang tertangguh sebelum ini kerana beliau aktif dalam politik tempatan.
 
 

Tiada ulasan: