Ahad, 19 Julai 2015

'Boat tracker' langkah bendung nelayan hilang

Irmohizam Ibrahim
Irmohizam Ibrahim 
 
 
SHAH ALAM - Susulan soal keselamatan nelayan yang turun ke laut menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberitahu bot-bot nelayan sekarang akan dipasang sistem pengesan atau 'boat tracker'.

Pengerusinya, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, pihaknya juga turut bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia bagi memastikan keselamatan nelayan yang turun menangkap ikan.

"Justeru itu, LKIM bekerjasama dengan Maritim Malaysia untuk memastikan keselamatan mereka ini dapat dibendung bersama.

"Keduanya, setiap bot-bot nelayan sekarang ini akan dipasang sistem pengesan (boat tracker) bagi memastikan perjalanan bot-bot itu dapat dikesan," katanya kepada Sinar Online.

Laporan nelayan hilang sering kedengaran dan terbaharu empat nelayan yang keluar menangkap ikan dilaporkan hilang di Kuala Kemaman, bulan lalu.

Mengulas lanjut, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, berkata, soal keselamatan nelayan melibatkan banyak faktor yang di luar kawalan.

"Kita harus melihat soal keselamatan nelayan ini seperti isu nelayan hilang di laut ada pelbagai faktor. Antaranya, gelora, mereka luar dari radar dan banyak faktor lain," katanya.

Sementara ketika ditanya soal harga ikan yang dilihat tinggi di pasaran, beliau memberitahu bahawa pihaknya sentiasa menggalakkan nelayan menjual sendiri hasil tangkapan mereka.

"Kita harus melihat pelbagai elemen harga-harga ikan kerana ada kalanya ikan ini dijual oleh peraih menyebabkan harganya mahal. Ikan-ikan yang dijual oleh nelayan adalah jauh lebih murah daripada peraih atau orang tengah.

"Sehubungan itu, LKIM dalam proses untuk menggalakkan persatuan-persatuan nelayan dan nelayan sendiri menjual terus di pasar-pasar Tani dan di pasar-pasar nelayan," katanya.

Jelasnya, langkah itu dapat memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan ikan pada harga yang jauh lebih murah sehingga 30 peratus.

"Setidaknya mereka boleh bersaing dan harga ikan pula akan lebih murah 20 peratus hingga 30 peratus," katanya.


Tiada ulasan: