Rabu, 1 Julai 2015

Akur nasihat Arka, Azwan Ali minta maaf

Azwan Ali
 
 
KURANG 24 jam dari tempoh seminggu yang diberikan, selebriti kontroversi negara, Azwan Ali‎, akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman akaun sosialnya, malam tadi.‎
 
Petikan status di Facebooknya menunjukkan tanda-tanda perdamaian nyata mengejutkan semua pihak, terutamanya netizen yang sebelum ini pedas menyindir Azwan.
 
Sebaik umat Islam berbuka puasa semalam, Azwan secara terbuka meminta maaf dan menyatakan rasa hormatnya terhadap  Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah‎ yang terdahulu, memberi amaran keras untuk membuat laporan polis terhadap kelantangannya menghina orang Melayu.
 
"Bila Ayah cabar Azwan Ali? Tak jadi masalah..Bersaksikan lebih 82,500 followers (pengikut), saya Azwan Ali meminta maaf jika ada pihak yang terus tersingggung! Azwan Ali seorang yang hormat orang tua seperti ayah.‎
 
"Tidak ada masalah langsung (walau sebesar hama) dan ‎harap bersifat terbuka. Hentikan isu yang telah diperbesarkan oleh pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab," katanya.
 
Abdul Rani atau lebih dikenali dengan panggilan Ayah Arka memberikan tempoh seminggu bagi selebriti itu untuk membuat permohonan maaf sebelum laporan polis dibuat.
 
 
Menurut Arka, amaran itu bertujuan melindungi kedaulatan institusi Diraja serta menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini.
 
Sementara itu, tambah Azwan lagi: "Bak kata Ayah, ini hari baik, bulan baik. Kepada semua Melayu khasnya si batu api, tolong muhasabah! Azwan Ali tidak gentar untuk berdepan dengan apa juga kebenaran.
 
"Baca terima maaf Azwan Ali dan stop all the nonsense! (hentikan semua hal mengarut!)," katanya lagi.
 
Kontroversi bermula apabila  Azwan yang menggelar dirinya Diva AA meminta cadangan lokasi restoran yang kurang dikunjungi ramai Melayu untuk menikmati hidangan steak menerusi akaun Twitternya.
 
Tweetnya itu turut mendapat respons dari seorang pengikutnya, @NurAziraWA yang secara ringkas menjawab ‘menate’.
 
Selebriti dan bekas hos televisyen itu yang tersalah tafsir jawapan tersebut terus menyerang dan menghina wanita berkenaan.
 
Namun, @NurAziraWA tidak cepat melatah dan menjawab bahawa dia hanya merujuk sebuah restoran yang diberi nama ‘Menate’ dan bukan mengutuk.
 
“Maksud saya Steak House Menate,” jawabnya.
 
Salah faham itu mendapat pelbagai reaksi dari netizen lain selepas ‘screen shot’ perbualannya dengan selebriti itu menjadi viral di media sosial.
 
 

Tiada ulasan: