Khamis, 16 Julai 2015

Ahli PAS jangan terpedaya dengan bisikan syaitan - Ulama

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic



SHAH ALAM: Dewan Ulama PAS Pusat meminta ahli parti itu agar tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan yang mengajak mereka keluar dari perjuangan Islam dibawa oleh PAS – merujuk kepada kempen kumpulan progresif yang cuba 'membawa' ahli parti menyertai wadah baru bakal ditubuhkan kelak.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, setiap ahli parti sewajarnya memberi ketaatan penuh dan beristiqamah dengan 'bahtera' PAS dan bukannya parti lain yang nyata dibina atas dasar kekecewaan semata-mata.

"Ia (PAS) lebih layak dan berhak untuk dimakmurkan berbanding wadah baru yang dibina atas dasar kekecewaan semata-mata. Sementelah jika ia didalangi pula oleh mereka yang menentang keras usaha-usaha menegakkan undang-undang Allah.

"Dewan Ulama PAS Pusat menyeru ahli-ahli PAS untuk terus istiqamah sehingga menang dengan bahtera PAS yang terbukti tegas dengan dasar dan prinsip-prinsip Islam dalam menentang kemungkaran politik pemerintah dan menegakkan pemerintahan Islam yang adil lagi berkebajikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dalam masa yang sama memberikan contoh peristiwa pada zaman Nabi Muhammad yang mempunyai persamaan dengan perkembangan terbaru yang berlaku dalam parti Islam itu.

Beliau mengaitkan peristiwa pembinaan Masjid Dhirar dan Tafriq (masjid yang menimbulkan mudharat dan kerosakan serta perpecahan) oleh golongan munafik yang bertujuan untuk melemahkan kekuatan Nabi Muhammad dan memecahbelahkan umat Islam di Madinah.

"Masjid adalah tempat sujud kepada Allah. Pembinaannya tentulah secara zahirnya memberi kebaikan kepada Islam. Namun, niat di sebalik pembinaan masjid tersebut adalah untuk menimbulkan kemudharatan dan perpecahan di kalangan umat Islam.

"Maka dengan perintah Allah masjid tersebut diarahkan untuk dirobohkan oleh baginda dan umat Islam dilarang oleh Allah untuk solat di dalamnya," katanya.

Perintah Allah itu, kata Khairuddin, ditegaskan dengan alasan bahawa masjid mestilah dibina daripada awal lagi atas dasar ketaqwaan dan masjid yang sebegini lebih layak dan berhak dimakmurkan.

"PAS sebagai sebuah gerakan Islam sedari awal penubuhannya pada 1951 adalah bertujuan menegakkan amar makruf dan mencegah kemungkaran serta memperjuangkan politik dan kuasa Islam. Ia tidak pernah berganjak daripada matlamat tersebut," katanya lagi.

Kelmarin, pemimpin progresif yang juga bekas pemimpin kanan PAS melancarkan sebuah pergerakan dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru (GHB) bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.

Pengerusi jawatankuasa penajanya, Mohamad Sabu berkata gerakan itu akan menjadi wadah bagi menyatukan semua parti politik di bawah naungan Pakatan Rakyat sebelum ini serta NGO yang sealiran dengan ideologi mereka.

Tindakan kumpulan berkenaan yang cuba berkempen untuk mengajak ahli PAS lain menyertai wadah baru pada ketika mereka masih bergelar ahli, mendapat kritikan barisan kepimpinan baru parti itu.

Rata-ratanya mereka mendesak kumpulan berkenaan agar melepaskan jawatan dalam PAS berikutan tindakan mereka yang disifatkan sebagai 'pengkhianat' kerana mengajak ahli menyertai parti baru yang akan ditubuhkan itu.

Tiada ulasan: