Ahad, 26 Julai 2015

ADUN PAS sertai GHB kukuhkan DAP di Selangor - Noh Omar

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
TANJUNG KARANG: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada PAS yang mahu menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) bakal mengukuhkan kedudukan DAP dalam kerajaan negeri Selangor.
 
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar, berkata ini kerana GHB lebih pro kepada DAP, sekali gus akan memberi kesan kepada kedudukan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, daripada PKR.
 
Dilaporkan, dua ADUN PAS di Selangor iaitu ADUN Morib, Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib serta Ahli Parlimen Kota Raja, Siti Mariah Mahmud akan menyertai parti baru GHB itu.
 
Ketika ini PAS memiliki 15 kerusi DUN, DAP (15), PKR (13), manakala Barisan Nasional 12 dan Bebas (1). "Apa yang kita lihat, Pakatan Rakyat pun tiada pendirian sendiri. Apa jua keputusan kena rujuk pada DAP kerana kalau DAP tak sokong, mereka akan kurang sokongan.
 
"Sama juga berlaku di Selangor. DAP majoriti dan PAS pula masih bergolak maka diramalkan Azmin akan mentadbir kerajaan negeri secara proksi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
 
Noh berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan GHB dan pergolakan PAS dalam memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan Selangor.
 
Terdahulu, Noh menyampaikan sumbangan kelengkapan haji kepada 68 bakal jemaah dan wang tunai kepada 120 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi bagi peringkat Parlimen Tanjung Karang.
 
Kata Noh, tidak mustahil sekiranya DAP akan meminta jawatan-jawatan penting dalam pentadbiran Selangor pada masa depan.
 
Semalam, ADUN Morib menegaskan bahawa ADUN daripada PAS yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB), tidak perlu mengosongkan kerusi DUN.
 
Beliau berpendapat PAS tidak sepatutnya membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP sedangkan gabungan bersama dalam pakatan pembangkang yang menjadikan Pakatan Rakyat mampu menawan Selangor. 


Tiada ulasan: