Khamis, 16 Julai 2015

Adakah satu jenayah minta Najib letak jawatan?

anthony

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: “Adakah ia menjadi satu kesalahan jenayah untuk mendesak Najib agar meletakkan jawatan kerana kelemahan kepimpinannya?”

Soal Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke apabila ditanya tentang siasatan terhadap beliau berhubung kritikannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menegaskan, jika ia menjadi kesalahan jenayah untuk rakyat bersuara mengkritik ahli politik dan kepimpinan negara, terutamanya apabila Najib sedang bergelut dengan kontroversi dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), maka tidak perlu diwujudkan Parlimen.

Beliau berkata demikian kepada media di luar balai polis Dang Wangi di sini hari ini, sewaktu dipanggil untuk siasatan berkenaan dengan kenyataan beliau ketika sidang tergempar di Parlimen minggu lepas.

Sidang parlimen yang dianjurkan kumpulan Ahli Parlimen progresif itu bertujuan membincangkan masa depan Malaysia pada saat Najib didakwa menerima AS$700 juta dari 1MDB dan syarikat-syarikat yang ada hubungan dengan 1MDB yang dikatakan masuk ke dalam akaun peribadinya.

Anthony yang juga merupakan Ahli Parlimen Seremban menyatakan bahawa beliau telah dihubungi oleh seorang pegawai bernama Liu dari Bukit Aman berkenaan laporan polis yang dibuat ke atasnya berhubung satu laporan akhbar Sinar Online. Laporan polis itu memetik beliau sebagai berkata bahawa akan berlaku protes jalanan besar-besaran jika Najib enggan berundur.

Anthony bagaimanapun menjelaskan yang beliau hanya menyatakan bahawa tidak dapat ditolak kemungkinan berlaku protes jalanan jika Najib tidak meletak jawatan.

Menurutnya, beliau dipanggil untuk soal siasat di bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan yang menyebut melibatkan niat menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

“Saya dapati tuduhan terhadap saya itu tak masuk akal, dan saya kecewa kerana Ketua Polis Negara nampaknya tidak suka dengan apa-apa perhimpunan aman, yang merupakan hak asasi manusia,” tambah beliau.

Loke, tiba di balai polis pada tengah hari, ditemani peguam Thomas Su yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng. Turut hadir ialah Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Teo Kok Seong. – Roketkini.com


Tiada ulasan: