MARANG - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar satu unit pasukan udara bagi membantu operasi membawa keluar mayat yang dipercayai mangsa aktiviti sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma bersempadan dengan Thailand.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid berkata sejak seminggu yang lalu pasukan itu digerakkan bagi membantu memindahkan dan mengeluarkan mayat serta rangka tersebut.

Katanya, sebuah helikopter turut dibekalkan bagi membawa keluar rangka mayat berkenaan.

"Bermula minggu lalu kami telah mengarahkan satu unit udara bersama sebuah helikopter bagi membawa keluar kesemua mayat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis Pentauliahan Kursus Asas Pegawai Bomba Bantuan di Akademi Bomba dan Penyelamat Wakaf Tapai di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mayat berkapan ditemui di hutan Wang Kelian]

Soiman berkata pegawai dan anggotanya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi melicinkan operasi mengeluarkan kesemua mayat berkenaan.

Sebelum ini polis menemui 28 kem pemerdagangan manusia dan 139 kubur besar dipercayai milik pelarian Rohingya yang cuba memasuki Malaysia dengan cara tidak sah yang didalangi sindiket melibatkan dua negara. - Bernama