KUALA SELANGOR - Dewan Ulama Pas Pusat hari ini berasa terkilan apabila usul tahaluf siyasi dengan DAP hanya diterima tanpa bahas dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-61.

Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamad bagaimanapun berkata, pihaknya sedia menerima apa juga keputusan yang bakal diputuskan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) selepas Muktamar Pas Pusat.

"Namun, ulama tetap wala' kepada kepimpinan (Pas), lepas ini kita tak akan panggil wartawan luahkan perasaan tak setuju dengan keputusan itu.

"Kita cadangkan MSU buat keputusan sama ada nak terima atau tolak, kalau tolak, ulama akan mula-mula menyokong keputusan MSU itu," katanya berucap pada sesi penggulungan Muktamar Pas Pusat ke-61, di Stadium Tertutup, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfodz juga menegaskan bahawa tidak wujud pertembungan antara golongan ulama dan profesional pada mesyuarat tahunan parti itu.

"Tidak berlaku pertembungan antara ulama dan profesional kerana dalam golongan ulama sendiri ada juga profesional dan sebaliknya.

"Pertembungan itu hanyalah berlaku kerana mereka ini mempunyai pemikiran yang berbeza sahaja," katanya lagi.