PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini berkata, kes seorang pesakit disyaki dijangkiti leptospirosis yang kini dirawat di sebuah pusat perubatan didapati tidak mempunyai kaitan dengan meminum air tebu dari bazar Ramadan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, ini kerana kesemua rakan pesakit berkenaan yang berkongsi air tebu didapati berada dalam keadaan sihat.

"Hasil daripada pemantauan juga mendapati, sehingga kini tiada kes tambahan dilaporkan berhubung kejadian risiko mendapat jangkitan leptospirosis melalui meminum air tebu yang dibeli di bazar Ramadan pada 23 Jun," katanya.

Beliau berkata demikian ekoran gambar yang tersebar secara meluas di media sosial berkenaan pesakit leptospirosis di sebuah pusat perubatan yang telah dikaitkan dengan meminum air tebu daripada bazar Ramadan.

Katanya pesakit berkenaan dimasukkan ke pusat perubatan tersebut pada 26 Jun setelah mengalami demam selama tiga hari, pening kepala, sakit perut, muntah dan cirit-birit dan berdasarkan tanda-tanda klinikal, pesakit disyaki mendapat jangkitan leptospirosis.

Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung punca jangkitan mendapati pesakit berkemungkinan dijangkiti leptospirosis ketika melakukan aktiviti rekreasi dan mandi di Latar Lembek Felda Tersang, Raub, Pahang bersama rakannya pada 13 dan 14 Jun lalu.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat antara rakannya juga mengalami gejala demam dan sakit sendi.

"Namun begitu, kesemua rakannya telah pun sihat pada masa kini," katanya.

Jelasnya siasatan sedang dijalankan dan tindakan kawalan serta pencegahan sedang dilaksanakan berhubung risiko kemungkinan jangkitan leptospirosis di Latar Lembek Felda Tersang, Raub, Pahang.

Katanya, KKM juga ingin memaklumkan bahawa adalah salah daripada segi privasi dan kerahsiaan untuk mengedar gambar dan keadaan kesihatan tanpa kebenaran pesakit berkenaan.

"Oleh kerana situasi ini telah berlaku, KKM telah pun mendapatkan kebenaran daripada keluarga pesakit bagi menjelaskan keadaan beliau," katanya. - Bernama