KUALA LUMPUR - Siasatan yang sedang dilakukan terhadap bekas eksekutif PetroSaudi International (PSI) Ltd, Xavier Justo, akan mendedahkan kebenaran berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lapor akhbar Malaymail dengan memetik satu sumber.
  
Artikel Datuk Wong Sai Wan memetik satu sumber sebagai berkata, rakyat Malaysia terkejut apabila mengetahui dakwaan terhadap 1MDB oleh portal berita Sarawak Report adalah berdasarkan kepada siri data yang diubah secara kreatif bertujuan untuk memfitnah 1MDB, PetroSaudi dan lain-lain.
  
Bagaimanapun, sumber itu dipetik sebagai berkata, tidak dapat dipastikan dalang di sebalik perbuatan meminda data itu, dan menambah kata siapa pun yang melakukannya, mereka tahu apa yang dilakukan itu.
  
"Buat masa ini, pertelingkahan politik terhadap dakwaan itu dicemari dengan realisasi yang dilakukan oleh The Sarawak Report yang berdasarkan kepada satu sumber - Justo, yang krebilitinya kini diragui," menurut sumber itu seperti yang dipetik oleh artikel dalam tabloid itu.
  
Artikel muka tiga itu, yang bertajuk 'When The Disgruntled Turn Nasty', menyatakan penangkapan suspek pemeras ugut, Justo, memperlihat bagaimana sikap tamak bekas pekerja dan pekerja sedia ada boleh menjadi ancaman besar kepada syarikat keselamatan digital.

Dalam artikel itu, pakar keselamatan siber berkata penangkapan Justo bagi jenayah yang dilakukan di Thailand dan kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Polis Metropolitan di London untuk jenayah-jenayah lain yang dilakukan di United Kingdom, merupakan contoh klasik bagaimana ancaman besar terhadap reputasi syarikat boleh dilakukan oleh "musuh dalam selimut".
  
"Selain itu, kita difahamkan bahawa prosiding sivil telah dimulakan terhadap atas Justo di Switzerland dan laporan polis sudah dibuat di Malaysia oleh bekas pemimpin PKR, Ng Lum Yong, terhadap penerbitan The Edge dan The Malaysian Insider kerana ia menerbitkan artikel-artikel berasaskan kepada 'dokumen palsu' Justo," kata sumber menurut artikel itu.
  
Pada Rabu lepas, beberapa akhbar melaporkan Justo ditangkap oleh polis Thailand atas dakwaan melakukan pemerasan ugut terhadap PetroSaudi, seperti yang dilaporkan oleh media di Thailand dan syarikat itu.
  
Pada hari sama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau dimaklumkan bahawa Justo merupakan individu yang bertanggungjawab mengedarkan maklumat tidak tepat kepada blog Sarawak Report sehingga mencetuskan pelbagai dakwaan tidak berasas terhadap 1MDB.
  
Ahmad Zahid juga dilaporkan sebagai berkata Kementerian Dalam Negeri difahamkan bahawa set data yang dicuri itu tidak lengkap kerana ia melalui proses suntingan profesional selepas ia dibawa keluar daripada sistem PetroSaudi dengan niat tidak baik untuk menyerang dan merosakkan imej individu tertentu.

PetroSaudi, sebuah syarikat industri minyak dan gas antarabangsa yang berpangkalan di Arab Saudi, telah menarik perhatian di Malaysia berikutan kerjasamanya dengan 1MDB.
  
Artikel itu juga menyatakan bahawa Justo, yang kini ditahan di Bangkok, Thailand, mungkin mengesali sikapnya.
  
"Tetapi, beliau tidak dapat menarik balik perbuatannya dalam beberapa bulan terakhir melakukan dakwaan palsu dan bohong terhadap dana pelaburan Malaysia 1MDB, PetroSaudi dan ramai tokoh politik."  
  
Menurut artikel itu, polis Thailand sedang menyiasat bagaimana Justo, selepas meninggalkan syarikat itu, didakwa mengeluarkan siri tuntutan pemerasan ugut bertulis bagi mendapatkan bayaran sebanyak 2.5 juta Swiss franc (RM10.1 juta) sebagai tambahan kepada bayaran gaji pemecatannya yang dilaporkan berjumlah beberapa juta Swiss franc.
 
Artikel itu menyatakan PetroSaudi enggan memenuhi tuntutan Justo kerana menyedari mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan ia dibuat secara berasas, bagaimanapun, mereka tidak mahu maklumat rahsia syarikat menjadi pengetahuan umum.

Penulis itu berkata Justo, yang menghilangkan diri selama 18 bulan sehingga tiba-tiba didakwa mengubah versi komunikasi dalaman syarikat yang mula muncul dalam The Sarawak Report, sehingga mencetuskan krisis politik membabitkan dana pelaburan Malaysia, 1MDB, dan beberapa tokoh berprofil tinggi.
  
"Politik Malaysia sentiasa sengit dan kini PetroSaudi mendapati ia berada di tengah-tengah pertelingkahan yang mengancam kestabilan kerajaan dan reputasinya," katanya dalam artikel itu.
  
Dalam artikel itu, seorang pegawai kanan Protection Group International (PGI) berkata jika Justo percaya beliau mempunyai bukti kukuh berhubung salah laku, mengapa beliau tidak terus membawa kes itu kepada pihak berkuasa berkaitan sama ada di United Kingdom, Malaysia atau Switzerland.
  
Pegawai itu berkata dalam kes PetroSaudi, ia bukan sekadar mengambil beberapa e-mel peribadi, senarai orang hubungan atau gambar kakitangan, yang lazimnya dilakukan oleh kakitangan yang berhenti.
  
"Sebaliknya, ia kononnya satu usaha bersepadu untuk mengeluarkan sejumlah besar fail korporat. Ini adalah bahan-bahan yang tiada tujuan sewajarnya apabila pekerja diberhentikan oleh syarikat," katanya.

PGI merupakan syarikat keselamatan siber antarabangsa terkemuka yang memeriksa sejumlah peranti dari penyimpanan data PetroSaudi untuk mengetahui bagaimana Justo memuat turun dan mengeluarkan sejumlah besar pelbagai komunikasi dan dokumen dalaman daripada sistem IT PetroSaudi.
  
Artikel itu menyatakan PGI dan kakitangannya memiliki pengalaman kepakaran bukan sahaja dalam bidang analisis forensik malah keselamatan, siasatan dan latihan siber dengan ramai daripada kakitangannya pernah berkhidmat dalam perkhidmatan kerajaan UK yang memerlukan pelepasan keselamatan dan integriti peringkat tertinggi.
  
Menurut pegawai kanan PGI itu, yang menjelaskan bagaimana mereka menyiasat data untuk mendapatkan kebenaran, semua siasatan forensik PGI adalah mengikut standard Persatuan Ketua Pegawai Polis UK.
  
"Ini bermakna, daripada saat ia dilantik, PGI melakukan analisis forensik secara menyeluruh mengikut standard berkenaan," kata beliau.
  
Menurutnya dua pegawai yang mengetuai siasatan itu mempunyai pengalaman mengendalikan lebih 1,000 kes forensik digital termasuk memberi keterangan di mahkamah.
  
Seorang lagi pakar keselamatan siber berkata PetroSaudi melaksanakan dasar dan langkah teguh bagi memastikan tahap keselamatan IT berada pada tahap tertinggi namun tidak mempunyai perancangan untuk berdepan orang dalam yang mahu mencabul perjanjian dan menyalahgunakan rekod.
  
"Masalah bermula, walaupun mereka tidak tahu mengenainya, sebelum Xavier Justo meninggalkan syarikat itu. Beliau sudah pun merancang 'sengatannya'," kata pegawai itu. - Bernama