Sabtu, 6 Jun 2015

'Saya tidak tahu lagi, saya tidak tahu'

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau menunggu laporan rasmi daripada DAP berhubung permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang supaya semua wakil PAS di negeri itu meletakkan jaawatan daripada agensi kerajaan negeri.

Sehingga laporan rasmi diterimanya, Abdul Hadi berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang kenyataan mengenai permintaan Lim Guan Eng itu.

Malah Presiden PAS itu juga menjelaskan usul memutuskan hubungan dengan DAP oleh Dewan Ulama itu hanya dipersetujui di peringkat muktamar.

Katanya, usul berkenaan perlu dibawa pula ke Majlis Syura dan keputusan tidak dibuat dalam muktamar.

"Saya perlu menunggu laporan daripada rakan-rakan Pulau Pinang terlebih dahulu. Tak boleh nak buat apa-apa kenyataan sebelum mendapat kenyataan yang terperinci.

"Usul itu sebenarnya diterima untuk dibawa ke Majlis Syura dan tidak buat keputusan di dalam muktamar," katanya di sidang media selepas berakhirnya muktamar PAS tahun ini.

Abdul Hadi yang menang dalam pemilihan selepas dicabar untuk kali pertama sejak menjadi presiden berkata, usul Dewan UIama itu perlu dikaji terlebih dulu oleh Majlis Syura.

Ditanya bilakah usul mengenai memutuskan hubungan dengan DAP akan dibincangkan, Ahli Parlimen Marang itu berkata ia akan dilakukan segera.

"Seberapa segera yang dapat dilaksanakan," katanya ringkas.

Berhubung hasrat bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang ingin melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan Pulau Pinang, Hadi hanya berkata: "Saya tak tahu lagi. Saya tak tahu," katanya ringkas.


Tiada ulasan: