Sabtu, 27 Jun 2015

Rambut bukan aurat: Sisters In Islam dibidas

 
SIS bukan berjuang untuk syariat Islam sebenar tetapi bertunjangkan hawa nafsu yang kononnya dihiasi dengan hujah akademi dan syarak.


sisters in islam



PETALING JAYA: Sisters In Islam (SIS) dibidas kerana memberi pandangan bahawa rambut bukan sebahagian daripada aurat wanita.

Pegawai Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Muhammad Firdaus Zalani berkata, perjuangan SIS bahawa rambut wanita bukan aurat bukanlah perjuangan demi mendapat kebenaran syariat Islam yang sebenar.

Sebaliknya, ia hanya perjuangan bertunjangkan kepada hawa nafsu samata-mata yang dihiasi kononnya dengan hujah akademik dan syarak.

“Kalaulah benar mereka pendokong al-Quran seperti yang ditunjukkan dalam kes ini, maka dalam kes hudud merekalah yang sepatutnya paling hadapan menyokongnya kerana kesemua hukuman hudud disebut jelas lagi terang di dalam Al-Quran.

“Kalaulah mereka benar ingin memenuhi seruan al-Quran, tidak mungkin mereka akan pertikai hak pewarisan isteri,anak perempuan yang selama ini dilaungkan kerana al-Quran menyebut dalam masalah ini jelas satu persatu. Kita kenal siapa mereka dan apa mereka perjuangkan walaupun mulut mereka cuba berkata sebaliknya,” katanya seperti yang disiarkan di laman web muis.org.my.

Muhammad Firdaus berkata, hujah SIS kononnya mereka berpandukan kepada hujah Syiekh Albani dan Syiekh Thariq Iwadullah adalah tindakan yang langsung tidak jujur dalam mencedok pandangan ulama.

Ini kerana, katanya, kedua-dua ulama itu membincangkan hadis tersebut pada perspektif perkara yang memang sedia menjadi khilaf di kalangan ulama, iaitu aurat muka dan tapak tangan, bukan berkenaan aurat rambut kerana aurat rambut adalah suatu perkara yang sudah jelas tanpa pertikaian.

“Bukalah mana-mana kitab ulama silam atau semasa jelas menunjukkan persepakatan mereka bahawa menutup rambut adalah wajib.

“Perselisihan yang berlaku hanya dalam sekitar muka,tapak tangan dan kaki, selain daripada itu mereka bersepakat akan pengharamannya. Jelas! sumber hukum aurat rambut meliputi ketiga-tiga sumber pensyariatan- al-Quran, Hadis dan ulama,” katanya.

Tiada ulasan: