SHAH ALAM - Kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dilihat bukan sekadar memenangi kerusi Dun buat Pas sebaliknya ia sebagai mengangkat suara bagi mewakili orang Islam di negeri itu.


Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil‎ Abdul Hadi berpendapat, banyak isu yang berkaitan agama Islam di Sarawak yang perlu diketengahkan.

"‎Keputusan PRN Sarawak penting bagi Pas walaupun keberadaan Pas di negeri‎ itu masih baharu tapi kami melihat ia menjadi satu perkara yang sangat penting khususnya bagi mewakili suara orang Islam di sana kerana kita melihat banyak isu-isu yang berkait dengan kepentingan Islam dan kepentingan umat Islam di sana yang perlu diketengahkan.

"Jadi, Pas sebagai sebuah parti Islam dikira satu kewujudan yang sangat penting di Sarawak. Ia bukan sahaja bertujuan untuk menang tapi menunjukkan bahawa Pas ada di sana (Sarawak)," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas, semalam.

Semalam, Pemuda Pas berikrar untuk menggempur kawasan-kawasan Dun di Sarawak untuk PRN yang dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai ‎kesan gambaran tindakan DAP yang mengesahkan tidak akan menghadiri Muktamar Pas kali ini kepada rakyat, Muhammad Khalil menyifatkan perubahan 'mood' PR itu lumrah.

"Lumrah dalam bersahabat bukan sepanjang masa rapat, baik...sedangkan lidah pun boleh tergigit. Jadi, bagi kami dalam PR, memanglah umum melihat supaya PR ini sentiasa dalam keadaan 'mood' yang baik seperti sebelum ini tapi apa yang berlaku pada hari ini adalah‎ satu perkara lumrah yang kami lihat.

"Hanya perbezaan pandangan dan kami Pas tetap dengan prinsip dan dasar yang diperjuangkan. Dalam masa yang sama kita menghormati rakan-rakan dalam PR," katanya.

‎Terdahulu, DAP melalui Setiausaha Pengelolanya, Anthony Loke mengesahkan parti itu tidak akan menghadiri muktamar Pas tahun ini.