KUALA LUMPUR - Penuntut Malaysia yang cedera dalam letupan semasa sambutan ‘Colour Play Asia‘ di Formosa Water Park, New

Taipei City semalam, dirawat di Unit Rawatan Rapi Ren Ai Hospital.

Lim Sh Li, penuntut jurusan perubatan di National Taiwan University, melecur tahap kedua pada 54 peratus bahagian lengan dan kakinya, kata Kementerian Luar hari ini.

Menurut kenyataan kementerian itu, seorang pegawai Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei telah melawat pelajar terbabit untuk memberi bantuan konsular yang sewajarnya.

Pihak berkuasa tempatan masih menyiasat punca letupan itu.

Kementerian Luar, melalui Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei, juga sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu.

Dalam kejadian semalam, sekurang-kurangnya 200 pengunjung cedera dalam kebakaran di sebuah taman hiburan di luar ibu negara Taiwan, Taipei.

Punca kebakaran tersebut dipercayai daripada serbuk berwarna yang disembur ke atas pengunjung, sebelum ia disambar api dan menyala.

Lebih daripada 80 pengunjung mengalami kecederaan serius dengan sesetengah mangsa yang terlibat terbakar sehingga 40 peratus, menurut laporan agensi berita CNA.

Kemalangan itu berlaku semasa parti ‘permainan warna’ di Taman Air Formosa di New Taipei City sekitar jam 8.30 malam waktu tempatan.

Daripada 215 mangsa yang cedera, 83 melecur serius, manakala 132 lagi mengalami luka bakar yang ringan, menurut jurucakap jabatan bomba kepada BBC.