Sabtu, 6 Jun 2015

PAS terima usul tahaluf siyasi dan hudud Kelantan tanpa bahas

 Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar, Shuhaniza Said, Sharifah Azmawati Syed Abd Aziz & Zeanaaiam Mohd Yusof

 
Post Pic
 
 
KUALA SELANGOR: Usul agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP tetapi kekal dalam Pakatan Rakyat yang dibawa Dewan Ulama dan PAS kawasan Tumpat dilulus tanpa bahas pada Muktamar PAS ke-61 kali ini.
 
Usul itu turut mendesak agar PAS tetap bertegas dengan DAP dan PKR agar menghormati pendirian, polisi dan dasar parti masing-masing.
 
Dua parti komponen itu juga didesak agar tidak menyekat dan mengganggu dasar perjuangan PAS yang didokong sejak sekian lama.
 
Usul itu dirangka rentetan tingkah laku DAP dan PKR akhir-akhir ini yang menjadikan PAS sebagai sasaran kritikan sehingga mengheret Pakatan Rakyat ke krisis dalaman yang paling rumit setakat ini. 
 
"Menyedari bahawa segala prinsip kerjasama antara rakan Pakatan Rakyat sudah mulai retak ekoran kenyataan dan tindakan pimpinan tertinggi DAP yang tidak menghormati prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.
 
"Menyedari bahawa kenyataan DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi kekal bersama PAS adalah satu sikap menghina Presiden dan PAS itu sendiri," usul itu dipetik sebagai berkata.
 
Selain usul putus hubungan dengan DAP, Muktamar juga meluluskan tanpa bahas usul Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan.
 
Usul berkenaan dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat.
 
"Kesemua peringkat PAS dituntut untuk memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan undang-undang Islam itu yang telah dipinda dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeru Kelantan pada Mac lalu.
 
"Sementelah ia melalui pelbagai proses untuk membolehkan ia dilaksanakan pada hujung tahun ini, PAS mahu sesi penerangan dan kerjasama dakwah diadakan kepada setiap lapisan masyarakat," usul itu dipetik sebagai berkata.
 
Untuk rekod, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudahpun menghantar notis ke Dewan Rakyat agar PAS Kelantan dibenar membentang rang undang-undang (RUU) persendirian pelaksanaan hudud di negeri itu.
 
Tindakan itu menyebabkan DAP secara lantang memutuskan hubungan dengan Hadi dan menuduh Ahli Parlimen Marang itu sebagai pemimpin yang tidak jujur dan tidak beramanah.
 
PAS bagaimanapun meminta DAP dan PKR agar menghormati hak demokrasi PAS untuk memperjuangkan agenda yang sejak sekian lama dirangka parti itu.
 
 

Tiada ulasan: