KUALA SELANGOR - Ketua Pemuda Pas, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini berikrar untuk kembali menyatukan ikatan yang telah terputus antara sayap parti itu dengan dua sayap pemuda PR, Dapsy dan AMK.

Menurutnya, langkah pertama telahpun diorak dengan Dapsy sebelum ini.‎

"Saya fikir, saya akan sambung balik (ikatan) dengan AMK dan Dapsy. Saya sudah berjumpa Ketua Dapsy di Parlimen (Teo Kok Seong).

"...dan saya janji (kepada Kok Seong) kalau  menang saya akan minum kopi sekali di Parlimen. Nik Nazmi (Ketua AMK) pun insya-ALLAH, saya akan berjumpa dengan dia," katanya pada sidang media tiga sayap parti di Muktamar Pas Pusat ke-61, di sini, hari ini.

Ketika ditanya soal usul yang diluluskan Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP, Nik Abduh akui Pemuda dan Ulama berbeza pendapat.

"Kami Pemuda berbeza pendapat dengan Uama. Kami rasa kami lebih bersedia sebab dengan AMK dan Dapsy, sikap mereka lebih lunak...Lebih lembut dengan Pas. Itu sy gembira.

"Untuk usul Dewan Ulama itu merujuk kepada kenyataan pimpinan tertinggi DAP...saudara Suhaizan (Kaiat) sebelum ini sudah pun buat yang baik, saya akan sambung, insya-ALLAH," katanya.

Dalam pada itu, Nik Abduh mengingatkan bahawa hubungan PR itu disukai oleh rakyat Malaysia dan Pemuda akan memainkan peranan memulihkan keadaan.

"Yang saya nak tekankan ialah hubungan kita dalam PR ini adalah hubungan yang disukai oleh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia berharap cetuskan politik baharu di negara kita, kekuatan PR itu perlu digemblengkan.

"Jadi, dalam keadaan krisis yang ada ini, oleh kerana dilihat masih ada jalan selesaikan kami Pemuda akan berusaha untuk perkasakan PR," katanya.