Ahad, 28 Jun 2015

Minta SPRM siasat ADUN guna cek tendang

 
ADUN Negeri Sembilan dikatakan memberi enam cek tendang membabitkan dua cek bernilai RM1 juta dan empat cek bernilai RM500,000 bertarikh 28 Mac 2007.


cek-tendang



SEREMBAN: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan didakwa menggunakan cek tendang kepada seorang ahli perniagaan.

Dakwaan itu dibuat Nadi Keadilan Rakyat dan Pemuda Pas Negeri Sembilan yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

Dalam sidang akhbar yang diadakan pada Sabtu, Pengerusi Nadi Keadilan Rakyat, Mohd Nazree Mohd Yunus mendakwa, enam cek tendang membabitkan dua cek bernilai RM1 juta dan empat cek bernilai RM500,000 bertarikh 28 Mac 2007 itu diragui pihaknya.

“Atas urusan apa Adun ini mengeluarkan cek bernilai RM4 juta kepada ahli perniagaan tersebut? Adakah urusan perniagaan? Jika perniagaan, kita nak tahu bisnes apa yang dilakukannya.

“Lebih menghairankan, cek tersebut merupakan cek tendang dan ini merupakan satu bentuk penipuan yang dilakukan Adun tersebut. Perkara ini salah dan melanggar integriti seorang Yang Berhormat,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian Online.

Selain SPRM, ia juga meminta Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyiasat perkara itu dan atas tujuan apa cek itu dikeluarkan oleh Adun terbabit yang berstatus Datuk.

Pada sidang media berkenaan Mohd Nazree memaklumkan akan membuat satu laporan akan dibuat sama ada di SPRM negeri atau SPRM Putrajaya.

“Kita juga mempersoalkan adakah cek ini mempunyai kaitan dengan surat Jabatan Perdana Menteri yang mengarahkan kes muflis seorang Adun BN di negeri ini diselesaikan secara luar mahkamah.

“Walaupun cek ini telah dikeluarkan lama, tetapi kita tetap mahu SPRM dan agensi terlibat menyiasat perkara ini,” tegasnya.

Tiada ulasan: