‎KUALA SELANGOR - Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu‎ hari ini memutuskan untuk melepaskan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah bekalan air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub (PIHH).
  
Beliau yang lebih dikenali 'Mat Sabu' berkata, keputusan itu dibuat berikutan keputusan Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-61 menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam PR.
  
"Saya mulakan (peletakan jawatan) ini dan mungkin boleh diikuti rakan-rakan di Selangor. Kita (Pas) akan kuat bila berseorangan," katanya yang dilihat penuh dengan nada merajuk dan sinis pada sesi penggulungan di hari terakhir Muktamar kali ke-61, di sini hari ini.
  
Mat Sabu yang dilihat pemerhati politik sebagai pro-DAP, gagal mempertahankan jawatannya pada pemilihan Pas Khamis lalu selepas tewas kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
  
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Mahfuz Omar memaklumkan usul Dewan Ulama itu tidak akan dibahaskan hari ini kerana ia (usul) sensitif dan perlu diputuskan oleh pimpinan Pas.
  
Mahfuz yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, usul berkenaan perlu dibincangkan di peringkat pimpinan kerana dibimbangi ia akan menjejaskan kedudukan parti itu di Pulau Pinang dan Selangor.
  
Semalam, Tuan Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan usul berkenaan akan dikaji di peringkat Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. - Bernama