SHAH ALAM - Sokongan yang diberikan masyarakat bandar dan pinggir bandar terhadap Pas ketika ini semakin hebat sehingga menggusarkan parti lawannya BN.
 
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, jika Pas terus bijak mendekati rakyat khususnya di kalangan bukan Islam tidak mustahil parti itu berjaya menakluki Putrajaya.
 
“Pada PRU13, saya sudah lihatkan sokongan umum kita. BN sedang gigit jari, selepas orang Islam di bandar dan pinggir bandar dulu jauh dengan kita sekarang beri sokongan pada kita.
 
“Kalau program (mendekati rakyat) ini berterusan, BN akan ucap sayonara pada Putrajaya” katanya ketika merasmikan Muktamar Pemuda Pas kali ke-56, semalam.
 
Beliau berkata, PRK Parlimen Rompin dan Permatang Pauh boleh dijadikan ukuran bagaimana perubahan rakyat terhadap kepimpinan negara hari ini.
 
Katanya, peratus kekalahan BN meningkat sehingga ia dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini.
 
Dalam ucapannya, Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu menegaskan pemimpin Pas mencari pendekatan terbaik mendekati bukan Islam memastikan Pas lebih berjaya dalam PRU14.
 
Katanya, sikap toleransi bersama bukan Islam perlu diteruskan selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
 
“Tindakan kita janganlah sampai menghalau mereka yang bukan Islam daripada bersama kita. Menghalau mereka bukan daripada segi bahasanya, tetapi melalui perbuatan dan kenyataan kita.
 
“Carilah toleransi paling tinggi selagi ia tidak merosakkan akidah, bertentangan Majlis Syura dan tidak melanggar prinsip perjuangan Islam,” katanya.
 
Beliau berkata, sehingga kini Dewan Himpunan Pas telah mencapai hampir 20,000 ahli.
 
Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa Pas akan terus cemerlang selagi bersama PR.
 
Mohamad turut memberitahu, Pas akan meminda beberapa perlembagaan parti tahun ini.
 
Katanya, perkara itu menjadi keperluan memandangkan ahli Pas telah bertambah sehingga lebih sejuta keahlian.