Sabtu, 27 Jun 2015

'Lepas ni rompaklah sebanyak mana pun'

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membawa pemikiran "sangat berbahaya" kepada pembangunan insan kerana memberi mesej salah kepada rakyat dalam isu 1MDB, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Dalam kenyataan beliau hari ini Mahfuz berkata, kenyataan Najib mengenai sumbangan 1MDB untuk pembangunan masjid menunjukkan seolah-olah seseorang boleh melakukan dosa sebanyak mungkin sebelum 'mencucinya' dengan sedikit sedekah atau pun mengerjakan umrah.

"Inilah yang dilakukan 1MDB.

"Pengurusan yang pincang dengan penyelewengan membabitkan tanggungan hutang RM42 bilion dicuci dengan sumbangan membina masjid dan membawa imam-imam menunaikan ibadah haji dan umrah.

"Mudahnya memerintah Malaysia," katanya.

Mahfuz mengulas kenyataan dibuat Najib semalam mengenai sumbangan diberi 1MDB untuk "pembangunan Islam" di negara ini.

Untuk mengukuhkan hujah itu, perdana menteri memberi contoh sumbangan diberi Yayasan 1MDB untuk mengisi sebahagian daripada kos pembangunan semula Masjid Kampung Baru bernilai M20 juta.

Beliau juga sedih kerana 1MDB diberi gambaran buruk di media sosial.

Mahfuz yang juga bekas Ketua Penerangan PAS berkata, kenyataan Najib itu memberi maksud seolah-olah beliau mahu rakyat, khususnya umat Islam, memberikan kemaafan pada apa pun kesalahan yang di lakukan oleh 1MDB kerana agensi itu turut melakukan kebaikan.

Katanya, pemikiran begitulah menyebabkan tiada usaha bersungguh-sungguh di pihak penguatkuasaan undang undang bagi mengatasi segala penyelewengan dalam pentadbiran negara.

"Lepas ini rompaklah sebanyak mana pun, kemudian perompak sumbang buat masjid. Tutup kes," katanya. 



Tiada ulasan: