KUALA LUMPUR- Pngguna internet dinasihatkan agar tidak menjadikan laman sosial sebagai diari peribadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan dan Perancangan Jangkauan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nur Halili Nadia Mustapha Kamal berkata melalui pemantauan SKMM, didapati ramai pengguna kerap mengemas kini status serta aktiviti yang berkaitan dengan kehidupan peribadi termasuk berkongsi lokasi mereka berada.

“Kecuaian itu mengundang padah apabila maklumat peribadi dikongsi sebegitu. Kita tidak kenal kawan-kawan di laman sosial yang mungkin akan memanipulasi maklumat yang kita kongsi.

“Ini mengundang kepada niat jahat pihak tertentu. Sekarang kita lihat hak privasi sudah tidak ada dalam kalangan pengguna laman sosial,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Sehubungan itu, Nur Halili Nadia menasihatkan pengguna laman sosial supaya berfikir secara bijak sebelum berkongsi atau memuat naik sesuatu yang bukan sahaja akan memberi implikasi kepada mereka malah kepada orang lain.

Nur Halili Nadia berkata, pengguna juga perlu membuat tetapan pada laman sosial masing-masing untuk mengawal apa jua maklumat yang boleh dikongsi bersama-sama rakan di alam maya.

“Jika berlaku sebarang penganiayaan laman sosial, maka pengguna perlu lapor segera kepada moderator laman sosial kerana mereka akan beri keutamaan kepada anda. Kemudian barulah lapor kepada SKMM dan pihak polis jika perlu,” katanya.

Beliau juga meminta pengguna supaya tidak menjadi hamba kepada laman sosial dengan memuat naik dan berkongsi pelbagai perkara semata-mata mengejar populariti dan mendapat jumlah ‘like’ yang banyak.

Menyentuh peranan SKMM, beliau berkata suruhanjaya itu telah memperkenalkan program Klik Dengan Bijak (KDB) sebagai wadah pendidikan dan pemahaman tentang isu semasa melibatkan buli siber, malah memberi panduan kepada ibu bapa untuk menanganinya.

Melalui program itu, katanya, SKMM menyalurkan pelbagai petua bagi mengelak pengguna menjadi mangsa buli siber selain memberi pendedahan supaya menggunakan internet secara lebih berwaspada.

Kata Nur Halili Nadia, kempen yang berteraskan kepada Rukun Negara kelima iaitu Kesopanan dan Kesusilaan kini berada pada fasa kedua yang fokus kepada isu jenayah buli siber, berkongsi maklumat peribadi secara melampau dan penipuan di internet.

“Kita buat video bersiri mengenai implikasi internet kepada pengguna selain bekerjasama bersama media dan turun padang memberi ceramah di sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya sambil menambah SKMM telah menjalankan 6,000 program pendidikan internet di seluruh negara sepanjang tahun lepas.