KLUANG - Pengerusi Sukarelawan Peguam (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat menegaskan bahawa dirinya masih ahli Umno selepas melepaskan semua jawatan yang disandang dalam parti berkenaan.
 
Khairul Anwar berkata, beliau  tidak akan sesekali meninggalkan parti Umno kerana sebelum ini parti itu banyak memberi ruang dan peluang kepadanya untuk menjadi seorang pemimpin.
 
Katanya, tindakan melepaskan jawatan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kluang, Naib Ketua Pemuda Umno Johor dan Ketua Sekretariat Perundangan Umno Malaysia adalah tindakan peribadinya.
 
"Saya akan kekal dengan jawatan berkenaan sehingga 10 Julai ini namun akan menghantar surat peletakan semua jawatan itu berkuatkuasa 11 Julai, Isnin ini kepada pucuk pimpinan parti.
 
"Alhamdulillah, ahli jawatankuasa serta ahli Pemuda Umno Kluang memahami keputusan yang diambil selepas saya fikirkan sedalam-dalamnya ini malah saya juga dihubungi peminpin Umno pelbagai peringkat yang bukan saja banyak memberi perangsang, dorongan malah nasihat berguna," katanya selepas perjumpaan tertutup bersama ahli jawatankuasa serta ahli Pemuda Umno Kluang, di sini, semalan.
 
Khairul Anwar semalam mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti berkuatkuasa 11 Julai ini. 
 
Beliau dilaporkan berkata, keputusan diambil selepas mendapat restu dari ibu serta perbincangan mendalam bersama ahli keluarga. 
 
Ditanya sama ada keputusannya untuk meletakkan semua jawatan dalam parti berikutan terdapat desakan dari mana-mana pihak, beliau enggan memberikan sebarang jawapan.
 
"Saya tidak mahu mengulas perkara lain selain kenyataan yang sudah dibuat sebelum ini malah saya akan meneruskan perjuangan hidup dalam bidang lain selepas ini," katanya.
 
Beliau berkata, pihaknya akan membuat kenyataan baharu atau susulan selepas menghantar surat peletakan secara rasmi Isnin.
 
"Saya masih akan mengikuti perkembangan Umno secara dekat kerana saya dilahirkan dalam parti ini," katanya.