IPOH – Sijil halal sebuah pusat penyembelihan ayam di Seri Manjung ditarik balik kerana melanggar Prosedur Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) setelah notis ketidakpatuhan semasa audit lapangan (NCR) diberikan sebanyak dua kali.

Perkara itu disahkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang memaklumkan surat telah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bertarikh 1 Jun kepada syarikat yang mengendalikan pusat penyembelihan terbabit.

Menurutnya, keputusan penarikan sijil halal itu telah dibuat pada Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Negeri Perak Bil.04/2015 bersidang pada 29 Mei lalu.

“Kita tarik balik sijil halal daripada syarikat tersebut disebabkan berlakunya perlanggaran dari sudut pemprosesan produk.

“Sijil halal yang ditarik balik itu juga akan dikembalikan sekiranya pihak berkenaan memperbetulkan kesalahan dan tidak mengulanginya kembali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Peruntukan kepada Masjid dan Surau di Perak, di sini, semalam.

Mohd Nizar berkata, pada ketika ini syarikat berkenaan tidak dibenarkan menggunakan logo halal Malaysia pada produk atau premis-premis di seluruh cawangan kerana ia menjadi kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

“Perkara itu jelas dan penguatkuasaan yang dibuat merujuk kepada akta berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, penarikan sijil halal berkenaan bukan sahaja membabitkan pusat penyembelihan itu bahkan ada juga beberapa pihak atau pengusaha lain yang dikenakan tindakan sama.

“Memang ada ditarik balik (sijil halal) dan ada juga yang di dalam perhatian pihak kami,” katanya.

Sejak semalam, satu surat mengenai penarikan sijil halal itu mula viral di laman-laman sosial serta mengundang tanda tanya pelbagai pihak.

Dalam pada itu, menjelang Ramadan ini, beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan terhadap para peniaga, pengusaha restoran dan hotel yang menjalankan perniagaan di bulan Ramadan ini bagi mengelakkan masalah berkaitan status halal berulang kembali.

“Pemantauan juga akan melibatkan faktor pengurusan makanan, keadaan dapur, tempat menghasilkan produk makanan dan bahan yang terkandung dalam produk itu juga akan diberi penumpuan sepenuhnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nizar berkata, hampir setengah juta ringgit disumbangkan kepada 11 masjid dan surau di Perak khusus bagi membaik pulih prasarana serta kemudahan asas sedia ada.

“Jumlah peruntukan yang diberikan itu berbeza dan mengikut jenis kerosakan atau kemudahan yang hendak diganti dan dibaik pulih,” katanya.

Katanya, sumbangan itu juga membuktikan bahawa kerajaan negeri amat prihatin dan komited dalam membantu membaik pulih rumah ibadat.

“Ia juga merupakan tugas dan tanggungjawab kami dalam menggalas kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.