Sabtu, 6 Jun 2015

Ini Baru Darah Bugis!!

shahbudindotcom

 

Tindakan Najib Razak yang selalu berbangga dengah darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya, semakin hari semakin tidak membawa kelebihan kepadanya untuk mempertahankan kerusi Perdana Menteri yang semakin bergoyang sekarang ini.



Setelah direkodkan beberapa tindakan pengecut dan penakutnya sebelum ini, keputusannya tidak hadir, walaupun sudah bersetuju sebelum ini, dalam forum Nothing To Hide yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad, bagaikan suatu pengesahan mutlak seolah-olah tiada setitik pun darah Bugis mengalir dalam pembuluh darahnya.

Ini kerana orang Bugis bukanlah seperti yang ditunjukkan oleh Najib itu. Mereka ada keberanian dan jati diri yang kuat, walaupun kerap diam. Orang Bugis bukan selalu menjerit tapi dalam masa yang sama kerap pula memberi helah untuk melindungi sesuatu.

Kalau dah bertempik kata nak berlawan, orang Bugis tetap akan melawan walau hingga terasak ke dinding sekali pun.

Setelah tidak menyahut cadangan berforum terbuka sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Tun Mahathir, tindakannya "lari malam" daripada bertentang mata dan mempertahankan hujah dalam program tersebut benar-benar memalukan dirinya, UMNO yang dipimpinnya serta kerajaan di di mana beliau menjadi ketuanya.

Tidak pernah kita ada pemimpin sebegini rupa, hanya gah bermadah dan berbicara sehala tetapi takut untuk berhujah secara bersemuka. Jauh sekali orang Bugis pernah berbuat demikian.

Lantaran itu, semua pihak terpanggil memberi reaksi masing-masing atas sikap yang ditunjukkan Najib itu. Setelah rakyat biasa dan pelbagai khalayak lain memberikan reaksi kerana ketidakhadirannya dalam forum tersebut, golongan istana juga tidak terkecuali berbuat demikian.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim adalah yang paling awal menyatakan pendiriannya berhubung tindakan mengecewakan Najib itu. Menulis di facebook Johor Southern Tigers, baginda meluahkan kata-kata, "Bagaimana boleh diadakan suatu forum  bertajuk Nothing2Hide dengan mengetengahkan seseorang yang ingin menyembunyikan segala-galanya? Tentu sekali dia tidak akan muncul.

"Kepada mereka yang telah diberikan amanah, jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda."

Memang sudah menjadi pengetahuan umum, Kesultanan Johor ini adalah berdarah Bugis. Sebagai Tunku Mahkota Johor, dengan kelantangannya bercakap dalam pelbagai isu sebelum ini serta keberaniannya membangunkan bolasepak negeri Johor, tidak disangkal lagi darah Bugis sedang mengalir dengan lancar dalam seluruh tubuh baginda.

Baginda bukan saja berani mempertahankan idea dan perancangannya dalam membangunkan sukan bolasepak itu, bahkan tidak gentar untuk berhujah dengan sesiapa saja. Jika tidak bersetuju, baginda bukan saja tidak gentar memberikan teguran, bahkan meletakkan jawatan dan mengasingkan diri daripada Persatuan Bolasepak Malaysia atau FAM berikutan ada perkara-perkara yang tidak dipersetujuinya.

Baginda dengan jelas tanpa ragu-ragu memihak kepada rakyat dalam isu ketidakhadiran Najib dalam forum tersebut. Sebagaimana rakyat kecewa dengan tindakan Najib menyembunyikan diri dan berselindung di sebalik helah keselamatan kerana tiada kekuatan untuk menghadiri forum itu, baginda juga nampaknya senada dengannya.

Keberanian dan jujur meluahkan pendirian ini tentunya akan menjadikan baginda lebih disayangi sebagai bakal raja kerana tidak takut menegur pemimpin serta memahami perasaan rakyat jelata.

Apalagi mahu dikatakan selain "Ini baru darah Bugis" atas sikap  berani, jujur dan bersama-sama rakyat yang ditunjukkan oleh Tuanku Mahkota Johor ini. 

Daulat Tuanku!! 

Tiada ulasan: