KUALA SELANGOR - [DIKEMASKINI] “Pas bukan milik saya seorang,” kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika ditanya pendirian beliau tehadap kelangsungan hubungan Pas dengan DAP setelah kembali menerajui tampuk kepimpinan parti itu.

"Pas bukan milik saya seorang... milik semua ahli dalam parti... saya tidak boleh putuskan sendiri ," katanya.

Namun ketika ditanya lagi, Presiden Pas itu menyerahkannya kepada parti tersebut membuat keputusan.

"Sikap DAP kena tanya DAP .. jangan tanya saya," ujarnya.

Kemenangan Abdul Hadi menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang  bagi sesi 2015-2017 itu dilihat segelintir pihak menyukarkan lagi kerjasama Pas-DAP,  yang sedia keruh selepas DAP memutuskan hubungan dengan Presiden Pas itu. 
 
Ulas Abdul Hadi, kemenangan beliau sekali lagi dianggap sebagai satu amanah yang mesti ditunaikan. 
 
"Masa depan parti.. itu ilmu ALLAH.. saya tidak tahu. InsyaALLAH, masa depan yang sangat baik (untuk Pas) berdasarkan kepada kehadiran  majoriti dikalangan orang muda. 
 
"Harapan saya, semoga  kita terus pegang kepada prinsip dan bersatu dalam perjuangan walaupun berbeza pendapat," katanya.
 
Sementara itu mengulas akan kemenangan majoriti ulama, Abdul Hadi menafikan barisan kepimpinan baru dimonopoli golongan itu. 
 
Sebaliknya beliau berkata, selain individu berlatarbelakangkan pendidikan agama, mereka  juga merupakan golongan profesional. 
 
"Kalau dilihat senarai mereka yang menang itu bukan sahaja terdiri daripada yang bependidikan agama, ulama termasuk juga kalangan profesional," katanya yang turut memetik beberapa nama. 
 
Menurut Abdul Hadi lagi, soal kekalahan kumpulan profesional yang dibangkitkan dalam pemilihan itu belum  lagi boleh diputuskan. 
 
"Saya rasa ukuran majoriti belum boleh dibuat lagi kerana senarai belum dibuat. Bukan semua yang pakai kopiah adalah ulama dalam Pas ini. Mat Sabu (Mohamad Sabu) pakai kopiah, tidak boleh kata beliau ulama.
 
"Sebab itu tidak boleh diukur pakai kopiah dan serban, itu perlu dilihat," katanya. 
 
Menjawab persoalan, wujudnya andaian mengatakan Pas hilang sokongan bukan Islam kerana majoriti kepimpinan baharunya ulama, Abdul Hadi berkata, terlalu awal untuk dijangkakan kerana pilihan raya belum tiba .
 
"Sejak semalam saya  menerima respons positif tehadap kemenangan golongan ulama termasuk bukan Islam. Jadi tak perlu buat markah sekarang. Itu semua anggapan negatif mengatakan pengundi bukan Islam tak sokong Pas kerana belum pilihan raya,' katanya.