KUNDASANG: Dua lagi mayat yang terbunuh di Gunung Kinabalu akibat kejadian gempa bumi semalam dan daripada jumlah itu, empat mayat telah dibawa turun ke kaki gunung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

 

Menurut Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Farhan Lee Abdullah, dua mayat diusung turun oleh anggota pasukan SAR manakala dua lagi diterbangkan turun menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau mejelaskan, tujuh lagi mayat kini masih berada di Laban Rata dan semua mayat ditemui dalam keadaan baik.

“Semua mayat dikumpulkan di Laban Rata, iaitu stesen terakhir sebelum pendaki meneruskan pendakian ke puncak Kinabalu.

“Helikopter berkenaan berjaya mendarat di Laban Rata dan membawa turun dua mayat terus ke helipad (tapak pendaratan helikopter) di Kundasang.



Helikopter TUDM membantu menerbangkan dua mayat mangsa ke Kundasang hari ini, manakala dua lagi mayat diusung turun anggota pasukan SAR sebelum itu. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah.
Helikopter TUDM membantu menerbangkan dua mayat mangsa ke Kundasang hari ini, 
 manakala dua lagi mayat diusung turun anggota pasukan SAR sebelum itu. – Foto Jabatan
 Bomba dan Penyelamat Sabah.

“Dua lagi mayat sudah diusung turun sebelum itu, namun ia mungkin memakan masa untuk tiba ke kaki gunung memandangkan keadaan laluan trek yang rosak,” jelas beliau.

Katanya lagi, pihak berkuasa dan pasukan SAR berharap dapat membawa turun semua tujuh lagi mayat yang masih berada di Laban Rata hari ini.

“Mayat mangsa warga tempatan akan dihantar ke Hospital Daerah Ranau untuk diibedah siasat, manakala proses yang sama untuk mayat warga asing akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu,” katanya sambil menambah anggota pasukan forensik sedang menunggu ketibaan semua mayat bagi membantu proses pengecaman dan pengesahan identiti.

Farhan turut memaklumkan kebanyakan kes kematian berpusat sekitar kawasan Via Feratta, yang terletak antara Kilometer 6.5 dan 7.5 daripada Timpohon Gate, iaitu gerbang masuk ke Gunung Kinabalu.

“Kami akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat enam lagi inndividu yang masih hilang. Kami mendoakan yang terbaik bagi baki mangsa yang belum ditemui ini,” katanya.