KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada berikutan kejadian gempa bumi yang berlaku di Ranau pagi ini.
 
"Walaupun saya berada jauh di Shanghai (China), saya memantau situasi ini. Saya tahu ramai yang bimbang kerana Sabah jarang sekali mengalami kejadian seperti ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
 
Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku 7.15 pagi ini di Ranau dan gegaran itu turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.
 
Menurut Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional, pusat gempa itu terletak 16km di barat laut Ranau.

Musa berkata pihak berkuasa juga turut memantau keadaan tanah terutama di Ranau, yang merupakan pusat gempa itu. - Bernama