KETIKA itu kami dalam kereta sebab saya hendak pergi kelas dan abang saya hendak pergi kerja, ketika tiba di lampu isyarat abang saya tegur, adakah saya terasa gegaran sepertinya,” demikian menurut Haind Rick, 21, ketika menceritakan detik cemas di Kolombong, Inanam turut dilanda gempa bumi pagi tadi.

Berbicara lanjut, Haind berkata, selepas dia dan abangnya merasai gegaran itu, dia memerhati keadaan sekeliling dan apa yang lebih menakutkannya ialah kelihatan tiang elektrik seolah-olah bergoyang.

“Cemas bila saya tengok sekeliling… saya perhatikan tiang elektrik bergoyang… termasuk kereta kami, lagi-lagi waktu itu lampu merah jadi kereta tidak boleh bergerak, masa itulah kami terasa gegaran yang cukup kuat,” ujarnya kepada Sinar Online hari ini.

Namun ujarnya, nasib mereka baik apabila gegaran kuat itu hanya dirasai mereka dalam masa yang singkat.

“Gegaran itu hanya sekejap... Kami ingatkan hanya di kawasan kami saja. Rupanya kawasan lain turut merasakan gegaran itu.

“Apa-apapun kami bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya.

Sementara menurut rakannya, Hilmi Chang Vui Yuan, 18, yang menetap di Sepanggar, Kota Kinabalu turut mengalami pengalaman yang hampir sama dengan Haind.

“Kami menetap di Seri Maju Apartment, Sepanggar, waktu kejadian kami bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

“Gegarannya kuat, tetapi hanya sekejap, kami turun ke bawah dan berkumpul, sementara kanak-kanak ditempatkan di Dewan Orang Ramai, semuanya selamat,” katanya.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku 7.15 pagi ini di Ranau dan gegaran itu turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.