Selasa, 2 Jun 2015

Dulu duduk sebelah-menyebelah, kongsi pentas tapi sekarang 'berkelahi' sesama sendiri - Suhaizan

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat menyelar sikap DAP yang melakukan serangan habis-habisan terhadap Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil menyifatkan perkara itu 'memalukan' pakatan pembangkang.
 
Tegas beliau, sikap yang ditonjolkan kepimpinan DAP terutamanya Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng tidak menggambarkan semangat setiakawan antara komponen Pakatan Rakyat.
 
"Kita ini bila duduk dalam Pakatan Rakyat utamanya adalah kebijaksanaan menguruskan perbezaan.
 
"Perbezaan ini di mana-mana pun ada, sendiri pun ada masalah perbezaan...kalau PAS bersendirian pun kita ada masalah juga dari segi perbezaan ini," katanya dalam temubual bersama Antarapos.
 
Menurut Suhaizan, perbezaan pandangan berlaku dalam mana-mana organisasi malah PAS juga boleh berdepan polemik serupa meskipun bergerak sendirian.
 
"Kalau PAS bersama dengan Umno katakan, ia pun ada masalah juga dari segi perbezaan.
 
"PAS dengan Pakatan Rakyat pun ada masalah ini juga, yang pentingnya adalah bagaimana kita nak menguruskan perbezaan itu," katanya.
 
Beliua berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa hati Abdul Hadi sekarang adalah bersama Umno walaupun tubuhnya dilihat masih bersama Pakatan.
 
Kenyataan itu dikeluarkan Guan Eng berikutan sikap Abdul Hadi yang terus cenderung terhadap Umno daripada memberi sokongan terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
 
Perbalahan PAS dan DAP dalam banyak perkara bukanlah sesuatu baharu dan ia sudah pun diketahui umum.
 
Bahkan agenda perjuangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan juga dilihat memberi 'ancaman' kepada keutuhan pakatan pembangkang, yang dibentuk selepas PRU12 pada 2008.
 
DAP tidak bijaksana tangani perbezaan pandangan
 
Kata Suhaizan lagi, sebarang tindakan yang bersifat 'menyerang' atau mengkritik secara ekstrem perlu dielakkan kerana ia mengundang lebih banyak konflik.
 
"Dalam hal ini pada saya tak wajarlah kita bergaduh sesama sendiri, tidak bijaksanalah kita confront each other," katanya.
 
Beliau turut membangkitkan persoalan dari sudut pandang rakyat mengenai 'serangan' sesama komponen Pakatan sambil menyifatkan DAP tidak bijaksana dalam menangani perbezaan pandangan.
 
"Kalau kita confront each other rakyat akan tanya dulu masa pilihan raya duduk sama-sama satu pentas satu ceramah tapi sekarang dah bertengkar.
 
"Dalam Parlimen begitu juga (duduk) satu baris, sebelah-menyebelah you tak boleh cakapkah? Mengapa you ambil media untuk serang rakan-rakan yang lain?
 
"Jadi pada saya itu bukan tindakan yang bijaksanalah," katanya.
 
 

Tiada ulasan: