PELBAGAI perancangan dirangka Pemuda Pas Kota Bharu untuk tingkatkan sokongan anak muda Muktamar Pas 2015 berlangsung semalam sehingga 6 Jun ini.

Bagaimanapun, sebelum menjelangnya hari yang ditunggu-tunggu sebelum ini, banyak kritikan dan serangan dilemparkan terhadap Pas terutama dalam usaha pelaksanaan hudud di Kelantan.

Wartawan Sinar Harian, SITI FATIMAH AWANG berkesempatan mewawancara Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, NOR AZARIA MOHD ALAWI yang juga Ketua Pemuda Pas Kota Bharu bagi mengupas beberapa isu yang sering dibincangkan sejak kebelakangan ini.

Sebagai Ketua Pemuda Pas Kota Bharu dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan yang baharu, apakah perancangan Ustaz untuk meningkatkan lagi sokongan muda mudi terhadap Pas yang dikatakan sedikit menurun sejak kebelakangan ini?

Jika ditanya mengenai perancangan tersebut khususnya di Kelantan dan Kota Bharu, pertamanya kita mesti tahu apakah punca jadi penyebab sokongan anak muda itu semakin menurun. Maka daripada situlah, kita perlu menyelesaikan masalah tersebut.

Jika anak muda mengatakan ia berlaku kerana wujudnya kemelut dalam Pas, maka Pemuda Kota Bharu dan Pemuda Kelantan bersedia menyelesaikan kemelut ini.

Yang keduanya, antara perancangan ditulis Pemuda Pas Kota Bharu ialah meningkatkan kerjasama dengan rakan Pakatan Rakyat (PR). Setiap program mestilah dilakukan bersama supaya nampak kebersamaan kita dan mengurangkan kontroversi antara PR.

Kita juga sasarkan anak muda yang berada di luar Kelantan. Kita ada bermesyuarat, antaranya ialah Karnival Anak Muda di perantauan akan diadakan selepas raya ini. Insya-ALLAH, semua ini perancangan kita untuk tingkatkan keyakinan anak muda terhadap Pas Kelantan. Kita juga ada menganjurkan seminar, malah ada juga diadakan di luar Kelantan.

Bagaimana hubungan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan Pemuda Pas negeri. Dalam beberapa aspek, kedua-dua sayap parti komponen PR ini dilihat tidak seiring.

Itu perkara biasa kerana AMK dengan ideologinya dan kita dengan ideologi kita tetapi kita bekerjasama atas perkara disepakati dan bertolak ansur serta saling faham memahami. Apabila peringkat atasan sudah ada persetujuan ‘agree to disagree’, maka benda ini tidak sepatutnya menjadi masalah. Saya nampak Pas kena kembali kepada matlamat perjuangan asal, sebab sokongan ini bukannya datang daripada anak muda yang berada di luar Pas, sokongan yang penting bagi kita juga ialah orang asal Pas itu. Orang asal Pas ini apabila mereka lihat Pas semakin lari dengan matlamat asal, maka kemungkinan sokongan itu akan lari juga. Ini penting untuk kita. Tidak lari daripada matlamat perjuangan asal untuk tegakkan Islam. Dalam masa sama, kita perlu tarik orang luar Pas. Kedua-duanya penting.

Sebagai pemimpin Pas Kota Bharu yang terdiri daripada golongan ulama, bagaimana kedudukan Ustaz tatkala majoriti pemimpin tertinggi Pas Kota Bharu terdiri daripada golongan bukan ulama?

Jika nak dikatakan fokus Kota Bharu, saya berada di sini sejak 2006. Sampai sekarang, tidak timbul masalah, saya anggap Yang Dipertua, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah adalah guru politik yang saya selesa bekerjasama dengannya. Tidak timbul isu apa-apa.

Apakah pendapat Ustaz mengenai keputusan Pas Kota Bharu mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Presiden Pas dan menganjurkan ceramah membabitkan Lim Kit Siang di Kota Bharu baru-baru ini?

Saya salah seorang daripada tiga individu yang tidak bersetuju dengan pencalonan tersebut. Saya tetap dengan pendirian presiden kini lebih sesuai dan kekal tetapi keputusan telah dibuat dan ia adalah suara majoriti, maka tidak ada apa-apa yang perlu dipertikaikan lagi.

Kita ikut majoritilah, tidak perlulah kita memberontak dan sebagainya. Kita bermesyuarat, masing-masing ada pandangan sendiri.

Tentang ceramah tersebut, saya rasa tidak ada masalah. Saya hadir sebelum ini semasa Ahmad Awang dijemput sebelum ini, cuma ketika ceramah di Padang Perdana itu, saya berada di luar kawasan. Saya tahu semuanya, tidak ada masalah.

Saya anggap memang patut kita mengajak ketiga-tiga wakil daripada parti itu, cumanya adalah lebih manis jika sebelum ceramah, kita beritahu kepada panel supaya dia menyebut tentang isu sensitif atau bincangkan tentang Pulau Pinang berbanding dengan hudud Pas Kelantan.

Kalau saya ada, mungkin saya akan beritahu macam itu, mungkin akan ada ‘guideline’ dulu.

Ustaz dikatakan mempunyai hubungan kurang baik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), termasuk kononnya pernah tidak disambung tauliah sebagai imam mukim. Jika benar, kenapa keadaan ini berlaku?

Saya balik dari Pakistan pada 2005 dan pada 2006, menjawat jawatan Imam Masjid Cempaka selama dua tahun, selepas itu Masjid Cherang dua tahun.

Sewaktu mula-mula balik, jadual tidak ketat tetapi apabila sudah mula berkecimpung dalam dunia ceramah ini, dengan jemputan yang banyak, maka kekangan masa untuk menjalankan tugas sebagai imam itu agak terhad.

Jadi itu mungkin kecuaian saya yang tidak menjalankan tugas imam muda dengan baik, menyebabkan Maik memberhentikan kontrak saya. Cumanya ada beberapa faktor yang saya rasa tidak berlaku.

Contohnya berkhutbah, saya pernah dipanggil dan ditegur mengenai hal tersebut, kenapa tidak membaca khutbah mengikut teks dan saya kata, saya ini semasa mula-mula menjadi imam, saya telah diberi kursus dan pemberi kursus ketika itu ialah timbalan mufti yang kini Mufti Kelantan.

Beliau ada menyebut bahawa imam boleh berkhutbah sendiri asalkan jangan keluar daripada garis panduan dan saya rasa tidak salah saya berkhutbah kerana saya mampu melakukannya, dan teks disediakan adalah untuk mereka yang tidak mampu memberi khutbah.

Namun, perkara itu telah disangkal Maik ketika itu yang tetap juga mahukan saya berkhutbah mengikut teks dan sebagainya. Keterlibatan saya dalam politik juga diambil kira kerana sebagai seorang imam, saya tidak boleh menjawat jawatan penting dalam politik.

Jadi saya diberikan pilihan sama ada memilih imam atau politik, saya kata dua-dua pun saya nak sebab kedua-duanya medan dakwah. Maka saya pilih politik.

Saya tidak menandatangani surat pemberhentian imam itu sehinggalah akhir tahun, ia tidak disambung secara automatik. Alasan kukuh yang diberhentikan adalah disebabkan politik. Hubungan kini tidak ada masalah.

Bagaimana Ustaz melihat hala tuju Pas selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas, khususnya dalam konteks kedudukannya dalam PR?

 Saya menaruh kepercayaan tinggi terhadap presiden. Saya sering dengar presiden mengatakan kita akan tetap dalam PR. Presiden orang lama dalam politik dan beliau amat tahu bahawa kita nak memerintah ini memerlukan hubungan dengan PR.

Kalau kita berpisah, kita seorang diri, maka untuk mencapai kemenangan itu agak sukar, namun ia bukanlah mustahil.

Sebab itulah saya nampak, selepas muktamar ini pun Pas akan tetap terus bersama dengan PR. Tidak ada apa-apa yang akan membezakan kecuali DAP keluar PR, itu kita tidak boleh cakap apa lah. Tuan guru (Abdul Hadi) banyak kali cakap macam itu, dan saya amat yakin dengan kata-katanya.

Dalam PR, PKR bagaikan berdiam diri seketika tetapi DAP dilihat semakin hari semakin menyerang Pas. Adakah disebabkan perkara itu menyebabkan wujud kumpulan dalam Pas yang mahukan Pas bersendirian.

Itu adatlah, adat berkawan. Serupa dengan hubungan suami isteri, duduk bertahun-tahun pun kalau berlainan pendapat itu perkara biasa, adat. PR ini pun baru beberapa tahun, tambah pula kita dengan DAP mempunyai haluan berbeza.

Satu sahaja yang saya nampak, masing-masing ingin mengekalkan sokongan. DAP ada penyokongnya, kita pun ada penyokong kita.

Kalau dia menegaskan untuk tidak menyokong hudud, semata-mata nak jaga sokongan orang bukan Islam terhadapnya, DAP kena sedar yang kita ini parti Islam, ramai orang Islam menyokong kita.

Kita tidak boleh keluarkan kenyataan senang-senang nak berhenti daripada melaksanakan hudud, tidak boleh, penyokong di bawah yang letak harapan tinggi pada kita akan kecewa nanti. Jadi bagi saya, apa yang berlaku sekarang tidak ada masalah, DAP dengan pendiriannya.

Biar nampak tegang, tapi pihak atasan itu pandai-pandailah duduk semeja. Kita selesaikanlah masalah ini. Ramai penganalisis membayangkan akan berpecah tapi Pas tidak akan keluar. DAP keluar atau DAP dan PKR tendang Pas. Itu cerita lainlah. Sebagaimana presiden sebut, kita ada pengalaman bersendiri.

Apa komen Ustaz atas dakwaan kerajaan Kelantan mengabaikan perkara asas mengenai kebajikan rakyat termasuk pembelaan mangsa banjir dan menggunakan isu hudud bagi menutup kekurangan ini?

Itu satu dakwaan tidak berasas kerana kerajaan Kelantan masih konsisten dengan peruntukan cukup terhad. Kebajikan tetap macam biasa, semua ada. Cuma banjir datang tanpa disangka.

Maka kerajaan Kelantan yang mempunyai kewangan terhad, mungkin nampak agak perlahan menjaga kebajikan mangsa banjir. Nak selesaikan masalah rumah bukan mudah, dengan adanya khemah sekarang ini itulah yang kerajaan mampu buat setakat ini.

Ada juga yang ada rumah tapi sengaja duduk dalam khemah supaya sentiasa mendapat bantuan daripada kerajaan.

Pemuda negeri kini diberikan tanggungjawab mengetuai satu usaha, yang mana kita mahu lihat sebelum Syawal ini khemah tidak akan wujud lagi. Insya-ALLAH, kerajaan Kelantan sudah buat banyak, yang tinggal hanya birokrasi kerajaan pusat sahaja.