SHAH ALAM - Pas Selangor menyifatkan tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengkritik Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka sebagai tidak kena pada adab.

Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata, beliau boleh kritik, tapi melalui saluran betul.

“Cara yang diguna Mat Sabu tidak betul. Kita ada platform muktamar. Sesiapa sahaja yang tidak puas hati dengan kepimpinan boleh kritik.

“Bukan cara Pas buat kritikan secara terbuka yang tidak akan membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan. Ia sebaliknya akan mengeruhkan keadaan,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Mohamad mengkritik Abdul Hadi seperti yang dilaporkan kelmarin.

Menurutnya, kenyataan berbentuk kritikan terhadap Abdul Hadi seolah-olah menunjukkan dua pemimpin itu tidak serasi sekali gus akan memberi peluang kepada pihak ketiga untuk mengambil kesempatan dengan memecahbelahkan hubungan kedua-dua pihak itu.

“Saya minta beliau termasuk pihak lain menghentikan segera tindakan mengkritik dan menyerang kepimpinan tertinggi secara terbuka kerana ia akan menambahkan lagi masalah.

“Harap pimpinan yang ada tidak lagi timbulkan isu ini kerana Pas dari dulu hingga kini tidak pernah mengajar ahli atau pemimpinnya membuat kritikan secara terbuka,” katanya.

Terdahulu, Mohamad didakwa mempertikaikan kebolehan Abdul Hadi untuk menawan Terengganu termasuk mendakwa beliau mahu keluar dari pakatan pembangkang.