Selasa, 2 Jun 2015

Beranikah Najib pecat Muhyiddin?

 
Mahfuz mendakwa Muhyddin pemuka utama yang menentang Najib ekoran skandal 1MDB.


muhyiddin,najib,mazfuz



PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memecat Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau membuat cabaran itu kerana perbezaan pendapat yang ketara antara Najib dan Muhyiddin berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, katanya, persoalan yang perlu diberi perhatian adakah Najib berani untuk memecat Muhyiddin jika perbezaan pendapat antara mereka berterusan.

“Muhyiddin antara pemuka utama yang menentang Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Whip Ahli Parlimen Pas membuat gesaan itu selepas Najib memberi kata dua kepada anggota Kabinet yang tidak bersetuju dalam usaha memulihkan 1MDB supaya meletak jawatan.

Muhyiddin bagaimanapun tidak hadir Mesyuarat Kabinet tersebut kerana bercuti sejak 26 Mei lalu.

Kepulangan Muhyiddin daripada lawatan luar negaranya kini ditunggu-tunggu dan pengamat politik Umno, Shahbudin Husin, menggambarkan ketibaan beliau di lapangan terbang pada Selasa malam umpama satu “majlis besar-besaran”.

“Muhyiddin dipercayai akan menjadi tumpuan apabila tiba kira-kira jam 9.00 malam dan acara menyambut kepulangannya akan diadakan di Bilik Anggerik, Balai Ketibaan, KLIA. Mereka yang ingin menyambutnya diminta berada seawal jam 7.30 malam,” tulisnya di  http://shahbudindotcom.blogspot.com.

Tiada ulasan: